Tuanku Permaisuri Johor Bantu Temukan Ultraman Dengan Adik Hafiq


SUSULAN perkongsian gambar adik Muhammad Hafiq Qayyum di laman Facebook baru-baru ini, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah turut berkenan meninggalkan komen selepas baginda di’tag‘ seorang pengguna laman sosial mengenai permintaan adik tersebut.

Adik Hafiq menghidap penyakit kanser darah yang kebiasaannya menyerang orang dewasa dan dilaporkan hanya 4 hingga 5 dalam 100 kanak-kanak berisiko tinggi menghidap penyakit tersebut.

Ibu saudara Hafiq berkongsikan gambar si comel itu memegang kertas bertulis impiannya untuk bertemu dengan adiwira kegemarannya iaitu Ultraman.


Dalam komen yang ditinggalkan di laman Facebook, Raja Zarith Sofiah menunjukkan keprihatinan baginda dengan bertanyakan kepada seorang doktor badut ternama tanah air mengenai hasrat adik Hafiq itu.

Doktor tersebut yang merujuk kepada Iskandar Syah Ismail sememangnya terkenal dengan kerja-kerja kebajikan malah sering menghiburkan pesakit kanak-kanak di seluruh negara kita.

Iskandar Syah kemudiannya membalas mesej tersebut dengan mengatakan dia sudah menghubungi pihak yang boleh membantu adik Hafiq demi menunaikan impian anak kecil berusia dua tahun lima bulan itu.

Ternyata keprihatinan yang ditunjukkan Raja Zarith Sofiah mendapat pujian daripada ramai pengguna media sosial yang cukup tersentuh dengan sifat keibuan dalam diri baginda. Menjunjung kasih Tuanku!

Raja Zarith Sofiah sendiri malah turut mempunyai sejarah peribadi kehilangan anakanda keempat, almarhum Tunku Abdul Jalil yang mangkat akibat penyakit kanser hati pada 5 Disember tahun lalu.

Tunku Laksamana Johor itu didiagnosis sejak tahun 2014 dan telah menerima pelbagai rawatan termasuk di China bagi merawat penyakitnya itu. – Kedahnews.com