Tubuh Jawatankuasa Pantau Pelaksanaan TPPA - Tok Pa

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa kebangsaan untuk memantau, memudahkan dan mengawal keseluruhan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jawatankuasa berkenaan akan terdiri daripada para wakil daripada kementerian-kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat dengan TPPA.

"Kami akan memaklumkan kepada rakan-rakan Kabinet sebelum jawatankuasa kebangsaan itu ditubuhkan memandangkan kita perlu kerjasama semua kementerian, " katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Simposium Pelaburan  Jepun-Malaysia di sini, Selasa.

Mustapa berkata cadangan untuk menubuhkan jawatankuasa itu telah dibincangkan dengan Pengerusi Kaukus Parlimen mengenai TPPA semalam. - Bernama