Tun M, Dua Bekas Ahli Umno Saman "Misfeasans" Mohd Najib

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama dua lagi individu telah mengemukakan saman terhadap Perdana Menteri atas tuduhan misfeasans atau penyalahgunaan hak sebagai penjawat awam.

Bekas Perdana Menteri tersebut serta mantan Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas ahli UMNO, Anina Saadudin, menamakan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai defendan tunggal di dalam writ saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Ketiga-ketiga plaintif menuntut agar Najib membayar ganti rugi teladan dalam jumlah RM2.6 bilion dan ganti rugi berpanjangan dalam jumlah RM42 juta kepada Kerajaan Malaysia.

Mahathir, Khairuddin dan Anina berkata bahawa sebagai rakyat Malaysia, mereka mempunyai hak dalam undang-undang untuk melakukan tindakan saman tersebut.

Mereka turut menuntut Mahkamah Tinggi untuk mengisytiharkan bahawa Najib telah melakukan kesalahan menyalahgunakan kuasa serta kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO, serta memungkir fidusiari dalam jawatan awam. – Kedahnews.com