KEASYIKAN melayari laman sosial sehingga menzahirkan suatu perkataan oleh suami mahupun isteri terhadap rakan lain yang dianggap gurauan seperti ‘sayang’ dan ‘apa khabar’ dikenal pasti sebagai faktor utama yang menyebabkan berlakunya keretakan dalam hubungan kekeluargaan.
Sifat cemburu yang wujud akibat perkara remeh itu juga secara tidak langsung mengundang kepada perbalahan dan pergaduhan kecil yang akhirnya boleh menjatuhkan talak dan perceraian terhadap pasangan suami isteri.
Ikuti kupasan lanjut berhubung permasalahan itu dan cara mengatasinya menerusi wawancara khas wartawan Sinar Harian, MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI bersama Timbalan Pengerusi II, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam), DATUK MUSTAFFA IDRUS.
Apa pandangan Datuk mengenai masalah rumah tangga yang melanda pasangan di Malaysia ketika ini?
Saya berpandangan situasi masalah rumah tangga di Malaysia berada di peringkat yang masih boleh dikawal, tapi selalunya ia disebabkan perbalahan dan pergaduhan kecil yang tidak dapat dirungkai. Contohnya apabila si isteri mahupun suami membuat panggilan telefon, tetapi tidak terjawab ataupun panggilan itu tertutup.
Perkara ini juga boleh menyebabkan sifat cemburu dan masalah remeh yang boleh menjatuhkan talak dan perceraian. Masalah itu sentiasa berlaku. Apabila berlaku penceraian dan jawapan yang saya sering terima, itu sebabnya.
Hanya disebabkan telefon atau nombor tidak dikenali, jangan kita terlalu salah sangka kepada isteri mahupun suami. Janganlah kita cuba menyiasat dengan membelek telefon pasangan masing-masing. Jangan langsung kita mendekati mahupun membuka segala rahsia dalam telefonnya kerana suami ataupun isteri mungkin ada tugasnya.
Sekarang ini laman sosial juga banyak menjadi punca perceraian. Padahal kita tidak menyiasat dulu bahawa itu adalah kata-kata gurauan yang selalu keluar daripada perempuan yang suka melahirkan kasih sayang walau dengan siapa jua.
Pendekatan yang boleh Datuk ketengahkan untuk mengatasi masalah keretakan hubungan kekeluargaan ini?
Ikiam mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Perdana Keluarga Bahagia dan Berinovasi pada 17 hingga 19 Mac ini di Padang Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani sebagai usaha memupuk dan mengembalikan semula kasih sayang yang retak dan terputus di kalangan sebahagian keluarga.
Kita nak seluruh keluarga mengambil berat dan sentiasa bersama anak-anak, keluarga isteri bagi wujudkan silaturahim dan sentiasa merasa peduli terhadap keluarga masing-masing.
Kita cuba menyedarkan masyarakat tentang kepentingan hubungan kekeluargaan melalui rasa kasih kepada orang tua, orang susah, golongan asnaf dan sentiasa mengambil berat kepada keluarga. Jangan letak kekurangan kita itu kepada kewangan, kita mesti menyemai kasih sayang.
Apakah objektif utama penganjuran Karnival Perdana Keluarga Bahagia dan Berinovasi?
Program ini adalah untuk menyebarkan kepada komuniti di Sungai Petani dan seluruh rakyat Kedah tentang pentingnya untuk kita berusaha membangunkan keluarga bahagia dan berinovasi supaya penghidupan keluarga kita boleh menyumbang, setanding dan seiring pembangunan negeri dan negara yang kita hajatkan sebagai negeri dan negara ‘baldatun toyyibah waa rabbun ghafur’.
Oleh demikian, setiap acara dan aktiviti yang dirangka akan dilaksanakan bagi menjelaskan, mempamerkan dan memberikan ilmu ke arah membangunkan keluarga bahagia. Berikutan itu, kita bersama Sinar Harian sebagai medium paling rapat dan platform terbaik untuk mendekati setiap lapisan masyarakat serta membina satu rangkaian hubungan yang lebih efisien membabitkan pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, pemimpin setempat, kelompok masyarakat dan wakil rakyat.
Festival ini juga berfungsi sebagai pemangkin dan destinasi pelancongan tempatan dan luar negara sempena Tahun Melawat Kedah 2016 dan Tahun Festival Malaysia 2016 untuk mengunjungi pusat-pusat pelancongan, kebudayaan dan warisan di sekitar Sungai Petani dan negeri ini.
Bagaimana Datuk pastikan pelaksanaan program ini memberi impak besar dan menyeluruh kepada komuniti?
Kita akan mengadakan aktiviti konvoi menjelajah ke setiap pelosok tempat dan daerah, khususnya ke pusat pelancongan, kebudayaan dan warisan di sekitar Sungai Petani. Pada masa sama, kita juga akan mengunjungi kawasan kampung, Felda, Risda, agensi kerajaan dan pihak berkuasa dalam usaha merapatkan hubungan dengan komuniti setempat.
Mengapa Sinar Harian menjadi pilihan dalam menjayakan program ini?
Kami memilih Sinar Harian sebab kejujuran dan keikhlasan mereka melaporkan berita yang benar dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Pada kami, Sinar Harian adalah akhbar yang sentiasa mengeluarkan cerita yang benar dan telus.
Selain itu, gabungan kerjasama erat dengan pelbagai pihak komuniti, sukarelawan, kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, media dan penaja Insya-ALLAH akan menjadikan program ini bermanfaat besar kepada semua masyarakat yang terlibat.
Antara aktiviti yang direncanakan sepanjang Karnival Perdana Keluarga Bahagia dan Berinovasi berlangsung?
Program ini bermula pada jam 9 pagi dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Ikiam, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan wacana membina generasi muda inovatif. Sebanyak 200 lot gerai pameran dan jualan dibuka pada hari tersebut.
Pada jam 3 hingga 6 petang pula, seramai 30 penduduk susah dan anak yatim akan diraikan oleh Ahli Parlimen Merbok, Prof Dr Ismail Daut. Sebelah malam pula akan diadakan ceramah perdana agama yang akan disampaikan oleh pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Ustaz Zaki Zanol Mat Isa.
Pada keesokan harinya (18 Mac), akan diadakan majlis perasmian oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada jam 10 pagi sebelum beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid Andalusia, Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani.
Program diteruskan pada jam 2 petang dengan persembahan kumpulan nasyid Maahad Tahfiz Kuala Muda dan Yan serta hafazan ayat al-Quran oleh murid bawah 12 tahun. Karnival ini juga dimeriahkan lagi dengan program gerak usahawan, inovatif, kreatif dan agresif serta beriman.
Pada waktu malam pula, karnival ini diserikan dengan program imarah masjid oleh penceramah bebas, Nor Hafizah Musa dan suaminya, Dr Azhar Yakoop.
Ada acara menarik yang disediakan Ikiam pada hari terakhir karnival?
Pada hari terakhir karnival ini, kita menjemput bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Penaung Ikiam Malaysia untuk sesi wawancara bersama Pengerusi Ikiam, Datuk Zahidi Zainul Abidin secara langsung menerusi rancangan Nasi Lemak Kopi o di TV9.
Aktiviti diteruskan memperkenalkan industri dan kawasan pelancongan di Daerah Kuala Muda dan Yan seperti Lembah Bujang, Tanjung Dawai, Tanjung Jaga dan Gunung Jerai.
Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari masa ke semasa.
Sumber: Sinar Harian