PETALING JAYA - Satu video mengandungi rakaman suara tanpa visual sebenar yang disebarkan di media sosial mengesahkan mengenai wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Rakaman suara mirip bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dipercayai dirakam dalam satu majlis tertutup sebelum beliau digantung jawatan dalam Umno.
Berdasarkan penelitian, rakaman suara berkenaan telah disunting oleh pihak tertentu.
Pada awal video berkenaan, terdapat montaj bergambar yang bertulis: "9 September 2015. TSMY mengaku wujudnya KOMPLOT untuk menjatuhkan Najib.
"TSMY mengaku bahawa Dana Khas Umno yang diuruskan oleh presiden ialah perkara biasa dari dulu lagi."
Berdasarkan rakaman itu, pemilik suara yang kedengaran mengaku sebagai 'Muhyiddin Yassin' beberapa kali menyentuh mengenai komplot menjatuhkan kerajaan.
"Mungkin setengah pihak meramalkan akan ada satu tindakan luar biasa daripada saya. Kalau mengikut sejarah, apa yang berlaku dalam Umno selepas (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dipecat dan sebagainya.
"Tapi saya nak jelaskan i'm not Anwar Ibrahim. Saya Muhyiddin Yassin," katanya sambil kedengaran bunyi tepukan.
"Hingga bila ada soal isu komplot, ni Datuk Zahid ada sini...komplot untuk menjatuhkan kerajaan, saya tidak terlibat.
"Walaupun ada usaha dibuat oleh beberapa pihak datang jemput saya untuk bersama-sama, saya kata no, i'm not part of that exercise," katanya.
Difahamkan majlis yang dihadiri pemilik suara itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Saya tidak terlibat dalam soal itu, saya tahu siapa yang terlibat, saya tahu apa yang mereka nak buat.
"Bukan kata nak menumbangkan kerajaan, nak menukar perdana menteri...itu pun saya tak terlibat dalam soal itu.
"Ini Datuk Timbalan Perdana Menteri mesti ada maklumat SB (cawangan khas) dan sebagainya. Saya tahulah...itu sistem kerajaan kita," katanya.
Selain itu rakaman tersebut juga menyentuh mengenai kontroversi derma politik kepada Umno.
"Kalau Datuk Seri ingat, saya pun tak pernah soalkan, i never ask. Saya menjadi timbalan presiden tahun 2009 sampailah sekarang.
"Tapi tak pernah pun persoalkan tentang dana khas ini, kerana saya tahu sejak dulu pun bahawa dana khas ini adalah dana yang diuruskan oleh presiden sendiri," katanya.
Rakaman ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Mesyuarat MT pada 9 September 2015 mengakui kewujudan dana khas Presiden UMNO dan menyatakan beliau tiada masalah.Posted by Mykmu.net on Wednesday, March 16, 2016
Sumber: mStar