#VIRAL: Konon Fesyen Jubah Muslimah, Tapi "Telanjang"...


BELUM pun reda mengenai isu Jubah Pahlawan atau Jubah Sado yang viral dilaman sosial akhir-akhir ini, kini timbul pula isu berkaitan jubah wanita atau jubah muslimah yang diibaratkan seolah-olah bertelanjang atau bogel.

Trend busana muslimah atau jubah muslimah dalam kalangan wanita tempatan memang mendapat perhatian. Tambahan pula, ramai dalam kalangan artis tempatan yang mula berhijrah kearah yang lebih sopan dan terbitnya jenama-jenama muslimah artis itu sendiri.

Ramai dalam kalangan artis wanita yang sudah berhijrah namun penampilan mereka tetap patuh pada syariah seperti Diana Amir, Irma Hasmie dan beberapa lagi artis terkenal tanah air.

Busana muslimah atau sebarang pakaian yang dikategorikan sebagai pakaian muslimah sepatutnya menutup aurat dan memenuhi garis panduan dan etika pemakaian seorang muslimah.


Namun sebaliknya berlaku dalam perkembangan fesyen muslimah tanah air semenjak kebelakangan ini. Jubah atau busana muslimah yang sepatutnya mencerminkan identiti seorang wanita muslimah yang mempunyai pekerti sebagai seorang yang pemalu, merendah diri, sederhana, bermaruah dan mulia telah dieksploitasi dengan kemunculan jubah ‘muslimah’ hakikatnya bertelanjang.

Bukan dosa atau pahala yang cuba dipersoalkan, tetapi keselamatan kaum Hawa itu sendiri akan terjejas sekiranya penampilan yang menjolok mata mengundang buaya-buaya darat yang ada di sekeliling.

Tidak dapat dinafikan bahawa rekaan jubah sekarang memang menutup aurat dan tidak menampakkan warna kulit.


Akan tetapi potongan jubah yang ketat harus dipersoalkan, seolah-olah si pemakai mendedahkan aurat secara ‘berhemah’ dan ‘sopan’, hakikatnya "ada benda yang timbul" di sana sini.

Sedarlah bahawa tujuan asal jubah adalah untuk mengurang impak seksual dan menghalang pengaruh dari tubuh wanita ke atas pandangan nafsu syahwat kaum lelaki yang melihat. Ia juga sepatutnya longgar dan tidak menampakkan bentuk tubuh.


Kepada wanita diluar sana yang berhijab mahupun tidak, tidak salah untuk mengikuti perkembangan fesyen semasa tetapi harus ada garis panduannya lebih-lebih lagi golongan ‘Hijabister’. -Kedahnews.com