NAMANYA sudah tidak perlu diperkenalkan lagi kerana ketokohan dan penguasaan ilmunya begitu dihormati sehingga ke luar negara.
Namun bagi pendakwah terkenal SHEIKH HUSSEIN YEE, tiada apa yang mahu dibanggakan kerana apa yang dilakukannya adalah untuk memartabatkan Islam tanpa mengira warna kulit dan bangsa.
Anak kelahiran Cina berbangsa Malaysia itu merupakan antara personaliti ulung dalam kalangan pendakwah antarabangsa yang telah mengukir nama di pentas dakwah di seluruh dunia.
Gaya penyampaian serta ucapan-ucapan beliau yang bersahaja dan padat tetapi bernas diminati ramai malah boleh juga diikuti di dalam media sosial serta YouTube.
Dilahirkan dalam keluarga beragama Buddha, Sheikh Hussain akhirnya memeluk Islam pada tahun 1968 ketika beliau berusia 18 tahun. Kemudian, beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah di Arab Saudi dalam jurusan Hadis.
Kini beliau menumpukan sepenuh masa dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Al Khadeem yang ditubuhkan pada tahun 1984 bertumpu kepada usaha-usaha kemanusiaan yang selaras dengan ajaran Islam.
Dalam wawancara berlangsung di pejabatnya di Sungai Kayu Ara baru-baru ini, beliau berkongsi pandangan tentang kemelut dan cabaran dunia Islam kini.
"Kegagalan kita sendiri ialah kadang-kadang kita gagal tunjuk contoh yang baik," ujar beliau sambil tersenyum.
SOALAN: Ustaz sudah lama terlibat dalam kerja-kerja dakwah. Bagaimana ustaz melihat suasana dan cabaran dalam usaha dakwah kepada bukan Islam di negara ini pada masa dahulu dan sekarang?
HUSSEIN: Saya bercakap ikut pengalaman. Mungkin dahulu pada 1980-an dan 1990-an, pemikiran umat Islam lebih keterbukaan dan kurang masalah dalaman. Perbincangan Islam secara ilmiah masih baik. Mungkin guru-guru agama dahulu, adab mereka bagus. Mereka tidak judgemental. Ketika itulah kita berfikir. Apabila kita tidak banyak masalah dalaman, kita lebih fokus dakwah kepada orang bukan Islam. Oleh sebab masyarakat Malaysia ini majmuk, peluang untuk kita berdakwah sangat luas. Sebab itu, kita tubuh al-Khaadem. Malah, kita sudah tetapkan bagaimana kita hendak mendekati masyarakat bukan Islam. Ada secara formal dan tidak formal supaya mereka tidak ada prasangka buruk terhadap Islam dan pandang negatif terhadap agama. Itu adalah kenapa al-Khaadem memulakan operasinya.
Kemudian, kita juga yakin untuk mendekati masyarakat bukan Islam, lebih senang secara tidak formal, dan melalui aktiviti kebajikan. Memberikan bantuan kepada anak-anak yang susah, tidak kira orang Islam atau bukan Islam, kita bantu. Kita buat tuisyen kanak-kanak secara percuma tanpa mengira agama. Dengan pendekatan itu, kita dapat menarik ramai orang datang belajar bahasa Melayu, Inggeris dan Matematik. Kerana kita ada sukarelawan yang membantu. Ada anak orang Benggali, Cina, India dan orang Islam. Campurlah semua dan ia sangat bagus. Kerana ketika itu, suasana politik pun tak nampak kita ini perkauman sangat. Saya rasa suasana dahulu begitulah, nampak mahabbah antara masyarakat Islam. Jadi, mudah untuk kita buat dakwah. Sebab itu, kerja-kerja dakwah kita kepada orang bukan Islam pada masa itu sangat berjaya.
Sekarang pun Alhamdulillah. Kita masih mengutamakan pendekatan mendekati bukan Islam. Tetapi sekarang kita kena menghadapi isu lain. Isu semasa ini sudah lain. Jadi, orang bukan Islam bertambah keliru. Fokus jemaah kita adalah bagaimana kita hendak redakan supaya fitnah terhadap agama Islam itu dapat diminimumkan, khususnya yang datang daripada orang bukan Islam.Orang belum Islam, mereka ikut perkembangan semasa. Dengan isu terbaru seperti pengganas dan pelbagai lagi. Jadi, kita kenalah beri penerangan supaya mereka faham Islam dan ajaran Islam dahulu.
Kita lihat apa yang berlaku dan bagaimana orang yang belum Islam menggunakan media untuk menyerang orang Islam. Kita perlu buat mereka faham tentang perkara itu. Jadi, apa yang kita dapat daripada Internet, kita kongsilah. Kita minta mereka nilai sendiri. Dengan cara demikian, mudah-mudahan kita harap orang dapat menimbang bahawa kita bukan datang hendak kata kita betul semua, tapi kita hendak masyarakat terima hakikat dan kebenaran. Suasana sekarang, saya lihat lebih mencabar dengan isu-isu yang kita hadapi sekarang. Walaupun kadang-kadang niat baik tetapi masalah sentimen perkauman semakin menjadi. Masyarakat majmuk ini satu masyarakat unik.
Kita bukan majmuk macam negara lain, tetapi kita hormat sampai kita iktiraf hari cuti dan hari raya mereka. Kita semua sama-sama rayalah. Mana ada negara lain buat begitu. Hak mereka pun kita hormat. Semangat itu sangat baik tapi yang penting sekarang kita hendak pastikan semangat itu kekal, supaya nanti kita dapat mendekati masyarakat belum Islam dan mereka tidak berasa takut kepada kita. Mudah-mudahanlah. Itu harapan kita. Cabarannya lebih besar sekarang. Kita kena bersedia menghadapi suasana itu.
SOALAN: Walaupun masyarakat Islam merupakan majoriti di negara ini, nampak dakwah terhadap bukan Islam seperti kurang berkesan. Bilangan bukan Islam yang memeluk Islam terlalu sedikit, dan banyak yang kembali kepada agama asal. Di manakah silapnya?
HUSSEIN: Saya banyak terlibat dengan persidangan di luar negara seperti di India, Norway dan Australia. Walaupun orang luar negara berfikiran sangat kritikal tetapi pada masa sama mereka berfikiran terbuka. Kalau kamu boleh buktikan kepada mereka kebenaran dalam ajaran Islam, mereka akan terima. Mereka mempersoalkan kenapa umat Islam begitu dan begini. Mereka banyak mendapat maklumat daripada media. Tapi, apabila kamu tahu bagaimana untuk menjelaskan, mereka boleh terima. Apabila mereka boleh menerima penjelasan itu, apabila kamu minta mereka memeluk Islam, mereka boleh terima Islam. Mereka sangat berfikiran terbuka. Yang datang dalam dialog ini adalah golongan profesional. Tetapi ia sangat baik. Di United Kingdom (UK) dahulu kita ada dialog di dalam gereja. Yang datang ada orang Kristian dan Sikh. Ia sangat terbuka dan ini adalah antara perkara yang baik di Barat. Kita di Asia pula, kita kurang membaca dan sangat selesa dengan apa yang kita sudah tahu dahulu. Jadi, kita tidak ada lagi keterbukaan. Dan Kebetulan banyak orang masuk Islam di negara kita kerana faktor kahwin. Saya buat pengislaman sejak 1980-an, dan boleh dikatakan 85 peratus hingga 90 peratus orang bukan Islam memeluk Islam kerana kahwin. Itu juga bagus.
Tetapi yang penting, orang Islam kena tunjuk contoh yang baik. Di Barat, orang masuk Islam kerana membaca dan mengkaji. Apabila memeluk Islam, mereka mengikut ajaran Islam. Kadang-kadang kita buat perhimpunan keluarga di sana. Saudara-saudara baharu dari Eropah termasuk dari Jerman, Belanda, Belgium, Denmark datang. Mereka berkumpul dan ia sangat sihat. Kita di sini, oleh sebab pendedahan agama tidak melalui ilmu tetapi takdir Allah mereka masuk Islam kerana tertarik dengan kecantikan perempuan dan lelaki Islam. Itu juga baik dan digalakkan daripada mereka tidak Islam dan tidak berkahwin.
Kegagalan kita sendiri ialah kadang-kadang kita gagal tunjuk contoh yang baik. Kadang-kadang yang masuk Islam hendak belajar solat tetapi yang Islam pula tidak sembahyang. Kalau tidak jadi apa, tidak apa. Tapi apabila terjadi perceraian, masalah bermula. Sebab itu, saya juga ada diamanahkan untuk menangani isu-isu murtad di Pulau Pinang, kerana banyak kes dalam senarai menunggu. Kebanyakan saudara baharu tetapi ada juga orang Islam.
SOALAN: Bagaimana ustaz melihat undang-undang bahawa anak-anak kekal menganut agama asal walaupun salah seorang ibu atau bapa mereka memeluk agama lain? Apakah penyelesaian terbaik?
HUSSEIN: Saya fikir agama telah ajar kita cara yang terbaik. Kalau pasangan itu dapat anak sebelum memeluk Islam, kita sepatutnya nasihat mereka ada jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah itu. Tidak perlu kita berebut-rebut. Pasal fitrah anak itu, dia akan ikut yang baik. Kita orang tua, kalau sudah takdir kita tidak bersatu, jangan kita libatkan anak. Jadi, kita hendak supaya emak dan bapa pun ada hak. Nanti apabila anak itu sudah besar, kalau kita tunjuk contoh yang baik, anak itu boleh buat pilihannya sendiri. Kalau hendak dakwah, pendekatan itu (isu agama anak) kurang hikmah (bijaksana) dan akhirnya menjadi isu politik. Sepatutnya ia adalah isu keluarga. Emak dan bapa boleh bergilir-gilir jaga anak itu. Janganlah kita pisahkan anak itu. Insya-Allah kalau kita yakin hidayah Allah yang bagi. Katakan kalau kita paksa, apabila anak itu besar, dia tahu emaknya agama lain dan kalau dia kata dia tidak mahu agama yang dianutinya, juga akan timbul isu. Contohlah kes yang saya boleh kaitkan. Kita ada seorang lelaki kahwin dengan seorang perempuan saudari baharu. Selepas kahwin, dapat anak dan selepas itu ditinggalkan emak dan anak-anak.
Apabila tidak kisah, emak ini akan kembali kepada keluarganya yang merupakan kumpulan sokongan. Jadi, anak-anak akan membesar dalam keluarga itu. Nanti anak itu besar, dia belajar agama lain tetapi nama dia pula Fatimah, Khatijah atau Ramli. Ini akan menimbulkan masalah. Dia tidak tahu apa itu Islam kerana dia membesar dalam suasana agama lain. Sekarang cuma namanya Islam. Dia kata dia bukan hendak keluar Islam tetapi dia memang tidak Islam. Hanya kebetulan nama itu. Orang Islam yakin hidayah Allah yang bagi. Kalau kita bincang dengan semangat yang betul, supaya tidak bermusuh dan masih baik, mungkin isteri kita yang tidak Muslim boleh masuk Islam kalau suami tunjuk contoh yang baik. Itu harapan kita tetapi saya takut apabila orang yang ada isu ini tidak mendapat nasihat yang terbaik. Apabila serahkan isu kepada orang kurang faham untuk mengatasi isu, ia akan menjadi isu lebih tegang. Kita harap pada masa hadapan, orang-orang yang masuk Islam dan ada isu ini, dia perlu rujuk kepada orang yang ada pengalaman. Jangan bawa ke tengah atau mahkamah tetapi selesaikan dalam semangat kekeluargaan supaya kita tidak bermusuh. Kita yakin itulah pendekatan terbaik.
SOALAN: Sekarang, umat Islam dipengaruhi dengan gerakan liberal sehingga ada yang mempertikaikan ajaran Islam. Kenapa keadaan ini boleh berlaku?
HUSSEIN: Setiap agama ada panduan masing-masing. Kita orang Islam kena berpandukan al-Quran dan sunnah. Kalau orang Islam mengikut dua panduan ini memang tidak akan sesat selama-lamanya. Tetapi sekarang ini orang Islam lebih suka berfikir dan bertindak mengikut idea serta pemikiran sendiri. Kalau mengikut cara ini memanglah tidak ada kesudahan. Syariat dalam agama Islam bertujuan untuk mengawal tindak tanduk manusia. Apatah lagi, Islam ada identitinya sendiri, jadi kenalah ikut. Agama lain pun ada identitinya sendiri. Cuma Islam tidak pernah mempertikaikan cara berpakaian penganut agama lain. Tetapi kalau orang Islam mengikut cara berpakaian orang bukan Islam itu yang menjadi isu. Sekarang ini orang Islam di sini mahu tiru gaya hidup yang liberal seperti di Amerika Syarikat kerana kononnya mereka itu bergaul dalam masyarakat bukan Islam yang menjadi golongan majoriti.
Sedangkan hakikatnya, orang Islam di sana lebih mempraktikkan gaya hidup Islam termasuk cara berpakaian yang mengikut syariat agama yang sebenar berbanding di sini. Saya pernah ada pengalaman berjumpa seorang remaja perempuan berusia 13 yang baru memeluk Islam. Sehari selepas itu, dia datang kepada saya dan terus berhijab. Saya terkejut kerana dia membuat perubahan yang drastik. Sepatutnya kena tanya kebenaran ibu bapanya. Takut nanti ibu bapanya marah atau tidak setuju. Maklumlah undang-undang hak-hak manusia di sana ketat, kalau jentik sikit anak pun boleh kena tindakan. Tetapi remaja itu kata, ini badan saya, suka hati sayalah hendak pakai apa pun. Dalam isu ini, mereka faham dalam melaksanakan hukum Islam. Banyak sebab mengapa berlaku pengaruh liberalisme antaranya media massa yang memainkan peranan. Selain itu, asas agama yang kurang sejak kecil dan mereka ini terdedah dengan pelbagai istilah serta konsep. Sebab itu, masyarakat perlu dididik dalam banyak perkara termasuklah dalam soal memudahkan proses perkahwinan.
SOALAN: Apakah cabaran umat Islam dalam menghadapi pengaruh kumpulan militan Negara Islam (IS)?
HUSSEIN: Dalam Islam, agama ini kata supaya jangan melampaui batas dalam apa juga perkara. Kalau hendak berjuang atas nama jihad kenalah ikut hukum syarak. Jihad mestilah diisytiharkan oleh pemimpin dan mengikut panduan agama. Perkara ini berlaku sejak zaman Nabi Muhammad kerana perang atau jihad diisytihatkan oleh baginda dan bukannya boleh dilakukan oleh sebarangan orang. Kalau zaman Khalifah Abu Bakar pula dia sebagai pemimpin maka dialah yang isytiharkan jihad dan begitulah semasa zaman Umar al-Khattab. Bukannya ikut mana-mana kumpulan dan kemudiannya mereka sesuka hati isytiharkan jihad. Jihad juga bukannya dengan mengikut emosi tetapi ilmu juga kena ada. Takut nanti orang awam akan keliru.
Apa yang berlaku apabila orang awam tengok maksiat berlaku dengan bermaharajalela dan masyarakat pula buat tidak kisah. Mereka ini mungkin tertekan dengan apa yang berlaku. Dalam isu ini golongan ini memang ada semangat yang kuat untuk mencegah kemungkaran tetapi pada masa sama mereka kurang ilmu. Maka dari situ jugalah timbulnya pelbagai fitnah. Hakikatnya agama Islam tidak suka menghukum membuta tuli kepada sesiapa sahaja tetapi pada masa sama Islam juga tidak suka dicabar. Kalau Islam itu dicabar, maka itu yang timbulnya tindakan daripada orang Islam. Jangan jadikan Islam itu sebagai "kambing hitam" apatah lagi kalau ia terbabit konspirasi yang ada kaitan dengan politik. Kalau ada orang yang cabar Islam kenalah tanya apa sebab mereka cabar Islam. Kalau tidak faham kenalah beri kefahaman kepada mereka. Utama perbincangan dan diplomasi dengan golongan mencabar Islam.
SOALAN: Ustaz merupakan antara 16 penceramah yang dilarang berceramah di sebuah negeri? Agaknya apakah kesalahan yang ustaz lakukan sehingga tidak dibenarkan berceramah di negeri itu?
HUSSEIN: Pihak kami telah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini. Saya pun keliru kerana tidak faham daripada sudut manakah saya telah mengelirukan orang dalam ceramah saya. Malah sehingga kini belum ada wakil daripada pihak yang bertanggungjawab memanggil saya untuk memberi keterangan. Saya pun hendak tahu dalam konteks apakah kesalahan saya itu. Saya doakan agar isu ini dapat diselesaikan segera.
Saya juga berharap agar tidak ada pihak yang mudah untuk menghukum apatah lagi memfitnah mana-mana pihak sebelum dibawa berbincang kerana jika tidak ini boleh jadi satu kezaliman. Saya punya keluarga dari Johor bertanya tentang perkara ini. Saya kata ini perkera kecil sahaja. Ramai yang bagi respons dan berkata selama ini ceramah saya okay sahaja, kerana saya hanya bercakap tentang agama dan tidak ada campur dengan isu politik. Tetapi kalau betul saya ada tersalah cakap, beritahulah saya dan bukannya susah sangat. Kita boleh duduk bersama dan berbincang. Kalau saya salah saya minta maaf.
Sumber: Utusan