Abd Aziz (kiri) ketika menziarahi Azizah di Kampung Permatang Tinggi C, kelmarin. |
KEPALA BATAS - “Ya ALLAH, hang ambil barang kemas aku ka,” demikian kata-kata spontan yang keluar dari mulut seorang warga emas, Azizah Ramli, 66, ketika disamun di Kampung Permatang Tinggi C, Pinang Tunggal, Isnin lalu.
Menceritakan semula detik-detik cemas tersebut, menurut Azizah, ketika itu dia berada di dalam rumah bersama anak lelakinya.
“Masa tu pukul 8 lebih, makcik ada dalam rumah dengan anak, Naim Md Tauzin, 29. Makcik tengah kejutkan dia bangun tidur.
“Tiba-tiba makcik terdengar bunyi motosikal, makcik pun keluar dan nampak ada seorang lelaki di luar rumah," katanya.
Katanya, penampilan lelaki berkenaan yang berpakaian kemas menyebabkan dia tidak mengesyaki apa-apa.
“Dia cakap nak tengok meter rumah makcik dan bil elektrik. Memang makcik betul-betul ingat dia datang nak periksa meter.
“Lepas tu dia minta kad pengenalan. Makcik pun bagi. Lepas tu dia ada bagi satu borang untuk makcik isi. Masa nak isi borang tu, tiba-tiba dia tarik rantai yang makcik pakai," katanya.
Menurut Azizah, dia sangat terkejut dengan tindakan lelaki berkenaan.
"Makcik cuma cakap, Ya ALLAH, hang nak ambil barang kemas aku rupanya. Memang tak sangka dia nak buat macam tu,” katanya.
Azizah berkata, lelaki tersebut kemudian terus melarikan diri.
“Memang makcik tak dapat nak buat apa-apa. Nak kata dia pukau, makcik rasa tidak sebab makcik sedar masa dia tarik rantai. Cuma tak sempat nak bertindak sebab terkejut," katanya yang bersyukur kerana tidak dicederakan.
Tambah ibu tunggal kepada enam anak itu, berikutan kejadian berkenaan, dia kerugian hampir RM6,000.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Abd Aziz Daud meluangkan masa menziarahi Azizah di rumahnya, kelmarin.
Dalam kunjungan tersebut, pihak polis turut menyampaikan taklimat mengenai langkah membendung jenayah daripada berulang.
Abd Aziz juga berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini.
Sumber: Sinar Harian