SUNGAI PETANI - Rakyat di Yan, Kedah bakal memanfaatkan jalan raya campuran getah sepanjang 10 kilometer (km) pertengahan tahun ini dalam usaha meningkatkan penggunaan getah domestik, sekali gus menstabilkan komoditi itu.
Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Dr Zairossani Mohd Nor berkata, ia merupakan jalan raya campuran getah terpanjang dalam negara selepas di Tampin, Negeri Sembilan dan Kota Tinggi, Johor.
Menurutnya, dua projek sebelum ini di Tampin dan Kota Tinggi hanya melibatkan jalan raya sepanjang satu kilometer, namun pembinaan di Yan membabitkan jarak 10km.
“Kita sudah bincang dengan kerajaan negeri Kedah melalui mesyuarat yang kita adakan baru-baru ini di mana kita akan buat pelarasan dari segi kontraktor,” katanya ketika hadir ke bengkel, Workshop on Agronomy and Transfer of Technology di sini, kelmarin.
Majlis perasmian bengkel disempurnakan Exco Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Datuk Norsabrina Mohd Noor bagi mewakili menteri besar.
Menurut Zairossani, pembinaan jalan raya berasaskan getah di negara ini merupakan yang pertama di dunia.
“Kalau lihat strategi kerajaan bagi membolehkan kita menggunakan 5 peratus pembinaan jalan berasaskan getah, kita perlu ada nasional kapasiti.
“Jadi dalam Rancangan Malaysia Ke-11 kita bangunkan kapasiti. Kapasiti yang kita nak bangunkan ialah untuk membolehkan kita menurap 2,000 kilometer jalan raya setahun,” katanya.
Jelasnya, penggunaan teknologi bagi melaksanakan jalan raya campuran getah bukan sahaja dibina di jalan negeri, tetapi turut dikenal pasti di jalan kampung dan kampung baru cina seluruh negara.
“Tahun ini sahaja kita merancang untuk menyiapkan 700 kilometer jalan negeri dan jalan ladang.
“Dari segi teknologi ia lebih tahan, dari segi keselamatan pula cengkamannya lebih bagus kerana mengurangkan kelicinan tayar, selain mengurangkan bunyi,” katanya.
Sumber: Sinar Harian