Jastina (tengah) bersama sebahagian pemilik rumah menunjukkan writ saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Setar. |
ALOR SETAR – Seramai 14 pemilik rumah di sebuah taman perumahan dekat Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani memfailkan saman kepada pemaju sebuah syarikat perumahan sebagai tuntutan ganti rugi terhadap kerosakan dan kecuaian struktur binaan kediaman yang dibeli mereka pada 2013.
Dalam writ saman itu, mereka menamakan sebuah syarikat pemaju perumahan sebagai defendan pertama, sebuah syarikat arkitek sebagai defendan kedua dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) defendan ketiga.
Saman berjumlah RM5.7 juta itu difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Setar, di sini, dengan diwakili peguam, Jastina Mohd Junus.
Masing-masing mendakwa rumah yang dibeli mereka dibuat tidak mengikut spesifikasi dijanjikan, selain mengalami banyak kerosakan yang boleh mengundang kemalangan jiwa.
Pemilik rumah, Zainal Abidin Ahmad, 61, berkata, keputusan saman itu dibuat setelah aduan demi aduan tidak diambil perhatian serius oleh pihak berkenaan.
“Selalunya orang beli rumah baru ni macam beli kereta baru jugalah, dapat kunci boleh terus jalan. Tapi rumah yang kami beli dah dapat kunci, tak boleh duduk lagi. Sepatutnya bila dapat kunci boleh masuk, basuh dan pindah barang. Itu yang sepatutnya sebab kita beli rumah pertama.
“Bukan kita ubah suai rumah. Memang pemaju boleh baiki rumah dalam tempoh dua tahun ini kalau ada kerosakan. Tapi tengoklah kesannya macam mana. Ini nak masuk pindah pun tak boleh, bahaya sebab banyak rosak,” katanya kepada media, kelmarin.
Menurutnya, terdapat juga beberapa rumah yang mengalami retak pada bahagian dinding dan siling rumah runtuh.
“Kita rasa tak selamat untuk anak-anak tidur di rumah itu. Bukan satu rumah, banyak rumah. Ini bagi saya satu penipuan. Dia buat bumbung tinggi, selepas rumah habis dijual dia potong pula bumbung itu supaya nampak rendah.
“Kenapa tak masa kita beli rumah dulu mereka maklum awal-awal. Tapi tak ada siapa yang maklum, sepatutnya masa kita nak beli rumah itu mereka dah terang dan maklum tentang pemotongan bumbung rumah,” katanya.
Zainal berkata, pemotongan bumbung rumah itu dikatakan terpaksa dibuat pada saat akhir sebagai faktor keselamatan.
“Bila kita tanya kenapa perlu potong (bumbung rumah), dia (pemaju) jawab kontraktor tak pandai baca pelan. Ini bukan projek ratusan ribu, ini jutaan ringgit. Mana boleh alasan kontraktor tak pandai baca pelan.
“Jadi kita terpaksa fail saman untuk pemaju sebab dia seolah-olah buat penipuan. Misalnya lagi, longkang rumah contoh dibuat dengan ukuran sembilan inci, tapi apa yang dia bagi pada kita hanya enam inci. Kurang tiga inci, maksudnya longkang sempit dan tanah lebih,” katanya.
Zuherly Zolkapali, 32, pula mendakwa kualiti pembinaan penyangkut kipas siling dibuat menggunakan kayu-kayu terbuang yang masih ada kesan retakan.
“Kalau ikutkan spesifikasi yang mereka buat hanya letak kayu itu di atas siling sahaja. Kalau berat kipas yang digantung itu melebih muatan, ia akan mengakibatkan kemalangan pada masa akan datang.
“Dah lebih empat kali saya buat pembaikan di tempat sama, namun masih rosak. Kami rasa seperti terpedaya oleh pihak pemaju sebab benda ini berada atas siling dan di luar pemandangan,” katanya.
Ujarnya, mereka hanya menyedari perkara itu apabila melakukan pemeriksaan menyeluruh termasuk di bahagian atas siling rumah berkenaan.
“Pernah juga sebelum ini siling rumah jatuh sebab tak kukuh dan penyusunan atap rumah yang tak tersusun. Kami mohon penjelasan kenapa boleh jadi perkara seperti ini, tapi tak ada jawapan kukuh daripada pihak pemaju.
“Walaupun tiada kecederaan oleh mana-mana pihak, tapi disebabkan kualiti rumah yang tidak mematuhi spesifikasi, kami rasa takut dan tidak selamat menetap di situ,” katanya.
Dr Kardina Kamaruddin, 43, pula mendakwa rumah yang mereka terima hanya indah khabar dari rupa.
“Kami rasa pihak pemaju tidak telus dan tidak berterus terang terhadap kualiti ataupun cara pembinaan rumah. Saya beli rumah itu sebab cantik, tapi bila dah dapat lain pula. Ini rumah pertama saya, agak kecewa di situ.
“Jadi kami buat tuntutan saman terhadap pemaju sebab kami rasa terpedaya dan tidak yakin dengan jawapan-jawapan yang diberi. Pada saya, jawapan yang diberi mereka bukan dari bidang pembinaan kerana mendakwa arkitek tidak pandai baca pelan. Ini tidak masuk akal," katanya.
Menurutnya, pemaju perumahan tersebut sepatutnya mencari arkitek yang berkeupayaan dan berkebolehan dalam semua hal berkaitan.
“Bila ditanya kenapa perlu potong bumbung, dia jawab atas faktor keselamatan. Tapi kenapa masa buat tak tunjuk pada kami dan tak fikir keselamatan. Kita dah nampak meragukan di situ,” katanya.
Sementara itu, Jastina mengesahkan akan menyerahkan writ saman tersebut kepada ketiga-tiga defendan dalam masa terdekat.
“Kes ini adalah mengenai borang perakuan siap dan pematuhan (CF). Pada mulanya kami hanya tertumpu pada isu kecacatan, tapi apabila anak guam saya buat pemeriksaan menyeluruh terhadap rumah ini, kita dapati ada benda lain misalnya penyangkut kipas siling itu sendiri tidak selamat kepada penduduk.
“Sebagai peguam mestilah saya akan beri perhatian kepada benda ini sebab ia bukan satu kecacatan yang mudah apabila melibatkan perakuan siap menduduki kediaman,” katanya.
Katanya, writ saman itu memfailkan tuntutan RM2.5 juta kepada syarikat pemaju perumahan, RM2.5 juta kepada sebuah syarikat arkitek dan RM700,000 kepada MPSPK.
Jelasnya, pengurusan kes pertama berlangsung pada 11 Mei depan.
Sumber: Sinar Harian