436 Rumah Mangsa Banjir Kelantan Siap Setakat 16 Mac – Menteri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim
KUALA LUMPUR – Sebanyak 436 buah rumah baharu untuk mangsa banjir di Kelantan telah siap dibina oleh kerajaan Persekutuan sehingga 16 Mac lalu manakala baki 530 buah lagi dijangka siap pada 30 Jun depan, Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata 271 unit rumah dalam peringkat pembinaan, 229 unit dalam peringkat pra pembinaan manakala 30 unit lagi di peringkat pengesahan hak milik tanah oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai.

Kerajaan Persekutuan dipertanggungjawabkan membina 966 unit rumah untuk mangsa banjir, kerajaan negeri sebanyak 528 unit manakala sebanyak 135 unit oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), katanya dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS-Kubang Kerian) yang ingin tahu jumlah rumah yang telah siap dibina dan diserahkan untuk diduduki setelah setahun banjir besar melanda Kelantan. – BERNAMA