5 Pelajar Universiti Selfie Sampai Jatuh Gaung Bukit Keluang


GARA-GARA ingin merakam gambar selfie, lima pelajar sebuah universiti tempatan terjatuh ke dalam gaung sedalam 24 meter di puncak Bukit Keluang, di Kuala Besut, Terengganu.

Bagaimanapun, mujurlah kelima-lima mereka berjaya diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Besut tanpa sebarang cedera parah dalam kejadian yang berlaku semalam.

Menerusi laman Facebook Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, kelima-lima mereka adalah pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang sedang melakukan aktivi mendaki bersama 20 pelajar lain.


Mangsa dikatakan berhenti untuk mengambil beberapa keping gambar selfie tetapi akhirnya tergelincir dan jatuh ke dalam gaung sedalam 24 meter.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Besut, Mohd. Zaini Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 1.15 tengah hari, dan lima anggota dari balai bomba Kampung Raja bergegas ke tempat kejadian.


“Sehingga petang ini, dua daripada pelajar terbabit, iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan berjaya dibawa naik. Bomba masih berusaha membawa keluar tiga lagi pelajar.

“Keadaan gaung yang dalam menyukarkan kerja menyelamat mangsa,” katanya dalam kenyataan di laman sosial rasmi badan beruniform itu pada Rabu.

Akhir-akhir ini, kemalangan membabitkan ‘selfie’ dilaporkan semakin meningkat di mana sekurang-kurangnya 27 kes mencatatkan kematian akibat insiden seumpama itu di seluruh dunia pada tahun lalu.-Kedahnews.com