Abang Bernard Lancar Petisyen Desak Selamatkan Mangsa Culik

Mendiang Bernard Then
KOTA KINABALU - Abang kepada tebusan rakyat Malaysia yang dipancung kepalanya oleh pengganas Abu Sayyaf telah melancarkan petisyen dalam talian menggesa kerajaan membawa pulang empat mangsa culik terkini.

Christopher Then, iaitu abang kepada Bernard Then - mangsa culik yang telah dipenggal kepala oleh kumpulan Abu Sayyaf pada 17 November tahun lalu ekoran kegagalan rundingan, mahu mendapatkan 10,000 tandatangan untuk petisyen itu.

"Adik saya, Bernard Then, telah dibunuh oleh pengganas yang sama membunuh mangsa yang tidak berdosa, atas nama Tuhan. Semoga tiada lagi sebarang kematian di tangan mereka,'' katanya.

Christopher menggesa empat anak kapal dari Sarawak yang diculik dari kapal tunda mereka oleh kumpulan bersenjata Abu Sayyaf pada 1 April di perairan antarabangsa di luar Pulau Ligitan di daerah Semporna Sabah segera dibebaskan dan dibawa pulang.

Keempat-empat mereka, Wong Teck Kang, 31, Wong Hung Sing, 34, Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21, dipercayai sedang ditahan di kubu kuat Abu Sayyaf di Pulau Jolo di selatan Filipina.

Empat rakyat Malaysia yang sedang ditahan oleh kumpulan Abu Sayyaf.
"Marilah sertai saya dengan menandatangani petisyen kepada kerajaan untuk menyelamatkan tebusan dan berdoa agar perdana menteri dan ketua menteri Sarawak akan melihat kes ini dengan serius," kata Christopher, Selasa.

Petisyen itu boleh dilayari di www.ipetitions.com/petition/saveourmalaysianhostages.

Bernard, 39, dari Sarawak, sedang bercuti bersama isterinya di Sandakan ketika diculik bersama seorang wanita iaitu pengurus restoran, Thien Nyuk Fun di Ocean King Seafood Restaurant pada 4 Mei 2015. Thien dibebaskan tanpa kecederaan pada 8 November lalu.

Khamis lepas, gambar empat tebusan rakyat Malaysia dimuat naik di Facebook, dikatakan oleh Abu Sayyaf.

Difahamkan bahawa kumpulan bersenjata itu telah menghubungi keluarga mangsa.

Kumpulan lelaki bersenjata Abu Sayyaf telah melakukan tiga serbuan ke atas bot tunda yang lalu di perairan antarabangsa antara Sabah dan pulau-pulau Tawi-Tawi di antara 26 Mac dan 15 April, dan menculik seramai 18 anak kapal, termasuk empat rakyat Malaysia.

Sumber: mStar