ACP Mohd Rozi Dilantik Ketua Polis Daerah Kota Setar

Bekas Ketua Polis Daerah Kota Setar SAC Adzaman Mohd Jan (kiri) menyerahkan dokumen tugas Ketua Polis Daerah Kota Setar kepada ACP Mohd Rozi Jidin (kanan) di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar semalam. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR – Bekas Ketua Polis Daerah Sungai Buloh ACP Mohd Rozi Jidin dilantik menjadi Ketua Polis Daerah Kota Setar yang baharu, berkuat kuasa semalam.

Beliau menggantikan SAC Adzaman Mohd Jan yang berpindah ke Kontinjen Bukit Aman sebagai SAC Kepolisan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Kepolisan Am bermula hari ini.

Upacara serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Kedah Datuk Zamri Yahya yang diadakan di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Adzaman yang ditemui pemberita berharap Mohd Rozi dapat meneruskan usaha menurunkan indeks jenayah kerana dalam tempoh lima tahun sejak 2010, kadar jenayah di Kota Setar mencatat penurunan dan meminta semua anggota dan pegawai memberi kerjasama yang baik.

Sementara itu, Mohd Rozi berkata beliau akan menggalas tugas dengan penuh komitmen dan akan menekankan tiga perkara dalam mempertingkatkan perkhidmatan anggota dan pegawainya.

Antaranya, ialah memastikan ketenteraman awam dan pencegahan jenayah di daerah Kota Setar terkawal selain meningkatkan integriti pegawai, kata Mohd Rozi.

Dalam perkembangan lain, Zamri berkata polis terus memperketatkan kawalan di seluruh negeri selain memantau pergerakan individu yang terlibat dalam kumpulan militan Daesh bagi mengelak kegiatan itu terus berleluasa.

“Baru-baru ini, seorang anggota kumpulan militan Daesh yang berasal dari Pendang, dilapor terbunuh dalam pertempuran di wilayah Al Khir, Syria pada 17 April lepas. Jadi kita akan terus membuat pemantauan secara rapi dan sekiranya ada maklumat berkaitan penglibatan individu dalam kumpulan itu, kita akan terus ambil tindakan,” kata Zamri. – BERNAMA