PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) bakal menerima tajaan RM30 juta untuk tempoh tiga tahum bermula 2016 dari Pengasas D'Herbs Healthy Sdn Bhd (D'Herbs), Datuk Aliff Syukri Kamarzaman.
Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata, tajaan lumayan itu bakal menjadi kenyataan jika perbincangan yang masih berlangsung kini dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Difahamkan bahawa Aliff Syukri dijangka bertemu Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada petang esok sebelum saingan suku akhir kedua Piala FA 2016 di antara Kedah menentang Sabah pada sebelah malam.
Pertemuan itu bertujuan untuk memuktmadkan beberapa perkara lagi yang melibatkan aspek perundangan di antara D'Herbs, KFA dan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).
"Persetujuan telah berada pada 'titis-titis terakhir' sebelum dimuktamadkan, harap semua penyokong berdoa agar perbincangan ini mencapai kata sepakat dan dipersetujui semua pihak," katanya selepas sidang media di Wisma Darul Aman, semalam. -Kedahnews.com