Ahmad Bashah Nafi Tohmahan Suruh Polis Tangkap

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah menafikan dakwaan kononnya beliau mengarahkan pihak polis menangkap mana-mana individu yang menghina beliau ketika perlawanan bola sepak berlangsung di Stadium Darul Aman.

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pihak Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebenarnya hanya meminta pihak berkuasa membantu untuk memantau perlakuan kurang manis segelintir pihak di depan Tunku Laksmana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah.

Menurut beliau, sepucuk surat permohonan bantuan KFA kepada pihak PDRM yang tersebar meluas di media sosial sebelum ini telah diputar belit pihak tertentu bagi mengeruhkan lagi tanggapan rakyat Kedah terhadapnya.

Jelasnya, surat KFA berkenaan hanya meminta agar pihak polis memantau sahaja kelakuan kurang sopan tersebut di samping mengawasi "booth" Deklarasi Mahathir - Kit Siang yang sengaja dibuka bagi tujuan politik di perkarangan stadium yang sepatutnya bersifat "bebas politik".


Kenyataan tersebut dibuat Ahmad Bashah ketika sidang media di Majlis Mesra Muafakat JKKK Negeri Kedah Bersama Pemimpin yang turut dihadiri oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri yang berlangsung di sini, pagi tadi.

Ahmad Bashah sehingga kini masih lagi menjadi mangsa 'boo' segelintir pihak yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Darul Aman, khususnya setiap kali nama beliau diumumkan hadir di stadium berkenaan.

Difahamkan, penyokong Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah mempergunakan stadium tersebut bagi tujuan politik bagi meraih sokongan dan simpati penyokong Helang Merah ketika berlaku kemelut Menteri Besar Kedah pada penghujung Januari lalu.

Dikatakan hasil dari insiden tersebut, para penyokong bola sepak Kedah telah memberi persepsi negatif terhadap Ahmad Bashah sehingga menyebabkan beliau 'di boo' pada setiap kali hadir menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium tersebut.

Perkembangan terkini, Ahmad Bashah dilaporkan telah berjaya mendapatkan tajaan dari syarikat DHerb's sebanyak RM30 juta bagi tiga musim untuk pasukan Helang Merah sebagaimana yang disahkan oleh pengasas syarikat itu, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, kelmarin. -Kedahnews.com