Akaun Palsu Jual "Lesen Terbang", Hanez Suraya Akan Lapor Polis

Hanez Suraya
Pelakon Hanez Suraya tidak dapat bersabar dengan tindakan individu yang menggunakan namanya di akaun Facebook palsu untuk menjalankan aktiviti menjual 'lesen terbang'.

Hanez atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abdul Aziz, 31, berkata, dia menerima puluhan e-mel daripada pihak yang terpedaya untuk membuat urusan tersebut.

"Akaun palsu itu sudah lama wujud kira-kira dua tahun lalu. Selalunya dia gunakan akaun itu untuk komen di laman-lama web artis untuk memburukkan sesuatu.

"Namun, sekarang sudah melampau dan saya tidak boleh bersabar lagi dengan mereka yang menggunakan nama saya untuk tujuan jenayah seperti itu," ujarnya.


Laman facebook palsu yang menjalankan aktiviti lesen secara haram.
Hanez berkata demikian ketika diminta mengulas tentang akaun Facebook yang menggunakan namanya untuk menawarkan perkhidmatan lesen memandu secara haram tanpa melalui proses-proses sebenar dengan pihak Jabatan Pengangkutan Awam.

Tambah Hanez, dia menyedarinya apabila dihubungi oleh beberapa pihak agar meminta dia berhati-hati dengan perkara tersebut.

"Pada mulanya saya pelik kenapa ramai yang e-mel saya untuk bertanyakan tentang urusan tersebut kerana mereka terpedaya dan menyangka ia kepunyaan saya.

"Selepas itu, barulah saya kesan terdapat satu akaun yang menawarkan perkhidmatan itu. Saya sudah meninggalkan mesej agar dia berhenti mengaitkan nama saya," ujarnya.

Tambah Hanez, dia juga akan membuat laporan polis dalam masa terdekat sebagai melindungi dirinya daripada didakwa atas aktiviti haram itu.

"Saya malas nak layan, tetapi bila fikir balik ia adalah sesuatu yang agak serius dan saya harap pihak polis ambil tindakan kepada individu tersebut," ujarnya.

Sumber: mStar