Aliff Syukri Taja Kedah RM30 Juta Untuk 3 Musim Tanpa Syarat


ALOR SETAR - Datuk Aliff Syukri Kamarzaman mengumumkan bahawa pihaknya telah muktamad dan bersetuju untuk menaja pasukan utama bola sepak Kedah bagi tiga musim berturut-turut tanpa memberikan sebarang syarat yang merumitkan.

Pengasas D'Herbs Healthy Sdn Bhd itu berkata, pihaknya hanya menunggu surat hitam putih dari pihak KFA berkenaan hal tersebut.

"Rasmi pada malam ini, confirmed (disahkan) saya akan menaja Kedah sebanyak RM30 juta atas request (permintaan) Kerajaan Negeri Kedah.

"Saya hanya menunggu surat perjanjian secara bertulis daripada negeri Kedah," kata Aliff Syukri dalam satu sidang media yang berlangsung di sini, sebentar tadi.

Aliff Syukri berharap agar pengumumannya itu memberikan semangat kepada pasukan Helang Merah dan beliau difahamkan sedang menunggu respon dari Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

"Saya harap ini akan memberikan semangat kepada kepada pemain-pemain bola sepak negeri Kedah.

"Apa-apa pun saya menunggu respon terbaik dari KFA dan Datuk Seri Ahmad Bashah," kata beliau lagi.

Jelas Pengasas DHerbs itu, beliau telah bertemu dengan Ahmad Bashah sebanyak tiga kali untuk membincangkan soal tajaan tersebut dan turut berkesempatan mengadap Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar," jelasnya mengenai pertemuan-pertemuan tersebut.

Beberapa media sebelum ini melaporkan Aliff sudah "tidak berminat" untuk menaja pasukan Helang Merah kononnya kerana pertukaran Menteri Besar Kedah di antara Datuk Seri Mukhriz Mahathir kepada Ahmad Bashah.

Bagaimanapun, desas-desus berkenaan dikatakan hanyalah permainan politik pihak tertentu yang bertujuan untuk mengeruhkan keadaan politik negeri itu bagi menjejaskan imej Ahmad Bashah yang baru dilantik. -Kedahnews.com