KASIH sayang, keprihatinan, dan kebimbangan Nabi Muhammad SAW terhadap umat Baginda terzahir dalam banyak hadis. Antaranya hadis Riwayat Bukhari dan Muslim berikut:
“Perumpamaan aku dengan kamu (umatku) ibarat seorang lelaki yang menyalakan api. Lalu serangga dan binatang-binatang melata datang ke arah api tersebut. Lelaki tersebut berusaha untuk menghalangnya. Dan aku memegang penghalang bagi kamu daripada neraka (supaya kamu menjauhkan diri daripadanya), sedangkan kamu pula tidak menghiraukan aku (lalu akhirnya kamu masuk ke dalam api tersebut).”
Khusus bagi umat akhir zaman, Baginda pernah memberi amaran:
“Kamu akan mengikut jejak langkah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kamu akan mengikut mereka.” Sahabat-sahabat lantas bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah Yahudi dan Nasrani yang tuan maksudkan itu?” Nabi SAW menjawab: “Siapa lagi jika bukan mereka.” (Riwayat Muslim).
Menurut Imam al-Nawawi, sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta serta lubang biawak adalah merujuk kepada idea, pemikiran, cara dan gaya hidup golongan Yahudi dan Nasrani. Dengan kata lain, umat Islam akhir zaman menerima atau menyetujui maksiat dan kemungkaran tetapi bukan kekufuran mereka.
Imam al-Nawawi seterusnya menegaskan bahawa hadis salah satu mukjizat nabi. Justeru, kita dapat melihat bahawa apa yang dikhabarkan oleh Baginda telah pun kini menjadi kenyataan.
Jika dahulu, pemikiran dan cara hidup masyarakat barat dianggap sesuatu yang jelek dan mesti ditolak tetapi tidak lagi hari ini. Sebilangan umat Islam bukan sahaja menerima dan mengagumi, malah menuruti cara hidup masyarakat barat. Lebih malang, terdapat kalangan umat Islam sendiri menjadi pendukung atau peneraju pemikiran serta agenda mereka.
Kenyataan bahawa dunia tidak lagi bersempadan membuka jalan yang luas untuk pemikiran songsang seperti liberalisme dan pluralisme untuk meresapi pemikiran umat Islam. Dengan itu semakin lantanglah kedengaran suara-suara yang menuntut sesuatu atas nama kebebasan. Justeru, sesuatu tindakan yang diambil atas asas menjaga agama dan peri laku umat Islam dikecam sebagai melanggar hak asasi pihak-pihak yang terbabit.
Lebih mendukacitakan apabila pihak berkuasa agama yang menjalankan tugas dengan penuh berhemah dan profesional dilemparkan dengan kata-kata kesat dan ugutan. Kebebasan yang diperjuangkan pemikir liberalisme memberikan kebebasan tanpa sempadan kepada manusia untuk menuruti hawa nafsu dengan sewenang-wenangnya.
Sebaliknya dalam Islam, kebebasan tertakluk dalam lingkungan yang dibenarkan oleh syarak. Perkara-perkara yang dibenarkan itu pula pastinya yang diakui benar (haq) dan baik serta tidak menimbulkan kemudaratan terhadap mereka.
Tanggungjawab menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran (amar makruf nahi mungkar) atau dikenali sebagai sistem hisbah salah satu asas terpenting dalam pemerintahan. Hal ini sebagaimana ditegaskan dalam ayat yang berikut:
“…dan sesungguhnya Allah akan membantu sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam)’ sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Kuasa; iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberikan zakat dan mereka menyuruh melakukan kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar….” (Surah al-Hajj 22 : 40-41).
Disebabkan kepentingan sistem itulah maka dilaksanakan sejak zaman Nabi SAW, Khulafa’ al-Rasyidin dan khalifah seterusnya lalu kemudiannya diinstitusikan sebagai suatu sistem. Asas yang penting ini turut diserapkan dalam penggubalan undang-undang di negara-negara Islam termasuk Malaysia.
Justeru, Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (AKJS) yang digubal antara lain bagi menghalang kesalahan berhubung akidah, kesucian agama dan institusi Islam, dan kesusilaan mestilah dihormati. Lebih penting lagi, seluruh rakyat mesti memberikan sokongan padu agar undang-undang ini dapat dikuatkuasakan dengan berkesan.
Dalam hubungan ini juga kita dapat melihat bagaimana prinsip Rukun Negara yang meletakkan tanggungjawab terhadap setiap warga negara untuk menghormati keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang (syariah mahupun sivil) serta memelihara kesopanan serta kesusilaan amat berkaitan. Dalam Perlembagaan, pemartabatan agama Islam sebagai agama negara melalui Perkara 3 (1) menzahirkan kedaulatannya yang perlu dipertahankan.
Setiap individu mesti mengambil perhatian bahawa sebarang bentuk perbuatan yang bertujuan menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, Majlis atau Mufti yang dinyatakan atau diberikan oleh fatwa adalah suatu kesalahan.
Oleh yang demikian, sekiranya disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dijatuhi hukuman tertentu misalnya sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 9 AKJS (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Keseluruhan kandungan agama Islam ialah kebaikan dan kemaslahatan bagi manusia sejagat. Justeru, setiap peraturan dan hukum yang ditetapkan bertujuan memelihara maslahah dan mengelakkan kemudaratan menimpa manusia umumnya. Inilah yang dirumuskan oleh ulama usul fiqh sebagai maqasid (matlamat) syariah.
Dengan mengambil kira pemeliharaan agama sebagai matlamat asas syariah yang terpenting dan berada pada urutan tertinggi, maka usaha perlu digembleng bagi menangani segala bentuk anasir dan perlakuan yang jelas menimbulkan ancaman terhadap agama Islam dan institusinya serta pegangan agama dan akhlak umatnya.
Penguatkuasaan undang-undang bagi membendung kemungkaran dan memelihara akhlak anggota masyarakat tidak bertepatan sama sekali dianggap sebagai pelanggaran hak asasi mereka.
Hal ini disebabkan setiap perlakuan salah yang dilakukan bermakna pelanggaran batasan (hudud) dan peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Pelanggaran batasan ini pula dianggap sebagai perbuatan menzalimi diri sendiri (Surah al-Talaq 65:1).
Salah satu keistimewaan persaudaraan dalam Islam ialah kewujudan hak dan tanggungjawab tertentu yang mesti dilaksanakan sesama Muslim.
Perlakuan salah yang dianggap sebagai tindakan menzalimi diri sendiri, mafhum daripada hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari menyatakan bahawa Nabi SAW mengingatkan bahawa Muslim yang melihat saudaranya yang melakukan kezaliman, termasuk terhadap diri sendiri, bertanggungjawab membantu saudaranya itu dengan menghentikan perbuatan tersebut.
Dalam skop yang lebih luas, seluruh anggota masyarakat dipertanggungjawabkan dengan amanah untuk menghentikan kemungkaran yang jelas dilihat berlaku melalui pelbagai cara sama ada dengan kuasa, nasihat, mahupun juga sekadar tidak meredainya. Semuanya ini bertujuan mewujudkan kehidupan bermasyarakat yang aman damai lagi sejahtera selain menterjemahkan maksud pengutusan Nabi SAW itu sendiri sebagai rahmat bagi sekalian alam.
*WAN ROSLILI ABD. MAJID, penulis ialah Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia/Utusan