Anak panda gergasi pertama yang lahir di Malaysia diberi nama “Nuan Nuan” iaitu bermaksud ramah mesra.
Pengumuman nama itu dibuat oleh Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Zoo Negara, Selangor, semalam.
Nama itu dicadangkan oleh seorang guru Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan, Perak yang dikenali sebagai Oh Teik Peng.
Dengan pemilihan nama itu, Oh Teik Peng berjaya membawa pulang pulang hadiah utama sebuah PERODUA MyVi.
Pertandingan Menamakan Anak Panda Gergasi itu diadakan bermula pada 17 November hingga 17 Disember lalu dan mendapat 22,830 penyertaan.
Bagaimanapun, hanya sembilan dipilih oleh penganjur sebelum dihantar kepada Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA) untuk persetujuan.
Nuan Nuan yang dilahirkan pada 18 Ogos tahun lalu akan berada di Malaysia selama dua tahun sebelum dipulangkan kepada China.
Anak Xiang Xiang dan Liang Liang itu sudah mula dipamerkan kepada pengunjung pada 17 November lalu.
Pasangan panda dari Kerajaan China ini menjadi simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun kedua-dua negara. –Kedahnews.com