Azadan Rabbani Akui Miliki Kelebihan Halau Makhluk Halus

Azadan
KETUA kumpulan nasyid terkenal Rabbani, Azadan mengakui dirinya mempunyai kebolehan untuk merawat pesakit yang diganggu makhluk halus.

Menurut Azadan Abdul Aziz, 43, kebolehan unik itu dimiliki selepas dia mempelajari ilmu tersebut daripada ibunya yang juga seorang bidan di kampungnya di FELDA Semenchu, Kota Tinggi, Johor.

“Ibu saya seorang bidan di kampung. Selain itu beliau juga boleh mengubati pesakit yang terkena gangguan halus. Jadi, daripada ibulah saya terdedah kepada perubatan Islam dan daripadanya juga saya mempelajari setiap ilmu berkaitan.

“Saya pun sekadar belajar untuk menimba ilmu. Tidak sangka pula ia menjadi serius apabila selepas berkahwin, jiran tidak kira Melayu, Cina atau India, datang meminta bantuan untuk diubatkan,” katanya yang dipetik dari BH Online.

Dalam pada itu, Azadan turut dilantik menjadi duta Sindra Care, iaitu produk yang dikatakan dapat menghalau gangguan makhluk halus.

Tambah Azadan, dia turut meletakkan syarat kepada pengeluar produk berkenaan agar mendermakan beberapa peratus keuntungan yang diperoleh kepada sekolah tahfiz. – Kedahnews.com