Gambar Hiasan |
JASA datuk kita yang kedua, Nabi Nuh a.s. wajib dikenang. Bagaimana caranya? Dengan membina tugu peringatan? Menamakan jalan raya utama di negara umat Islam dengan nama baginda? Menamakan anak umat Islam dengan nama baginda? Memperkenalkan baginda sebagai “chef asal resipi” bubur Asyura?
Memperkenalkan baginda sebagai nabi pertama menemui kayu kokka yang ajaib untuk dijadikan bahan utama bahteranya?
Jangan buat tugu peringatan kerana ia dibenci baginda! Bahkan tujuan utama pengutusan baginda adalah membersihkan penyembahan berhala yang berasal daripada lima tugu peringatan orang alim sebelum baginda.
Pada asalnya Wad, Suwa’, Yaghuth, Ya’uq dan Nasra adalah lima orang soleh yang ditugukan demi mengenang jasa mereka (Tafsir al-Tabari). Tugu mereka kemudiannya menjadi lima berhala utama zaman sebelum baginda:
“Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak). Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku). “Dan (ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, Suwaa’, Yaghuth dan Ya’uuq serta Nasr,” (Nuh [71:21-23]).
Perlu ditegaskan, bukan tugu, bukan nama jalan atau nama anak, bukan chef pemilik resipi bubur legenda dan bukan juga cerita karut kayu kokka yang perlu diketengahkan untuk mengenang jasa Nabi Nuh a.s. Sebaliknya kenanglah baginda sebagai nabi yang memperjuangkan Tauhid:
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya lalu berkatalah ia: Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepada-Nya?,” (al-Mu’minun [23:23]).
Malang sungguh nasib umat Islam jika terpesong memahami intipati perjuangan dengan benda remeh seperti jenis kayu bahtera nabi Nuh yang ajaib lagi khurafat atau bubur legenda sehingga lupa perjuangan Tauhid baginda yang bukan sekejap, tetapi mencecah 950 tahun.
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggallah dia dalam kalangan mereka selama 950 tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka),” (al-‘Ankabut [29:14]).
Nabi Nuh penyelamat zuriat manusia
Jasa kedua baginda yang wajib dikenang adalah jasa menyelamatkan zuriat manusia daripada bencana banjir. Tanpa usaha baginda itu, manusia pastinya sudah pupus ditelan banjir.
Sebahagian ulama mengatakan generasi kedua umat manusia selepas zaman Nabi Adam a.s. `hanya’ berasal daripada tiga anak baginda iaitu, Ham, Sam dan Yafith.
Baki pengikut baginda yang bersama di atas kapal semuanya meninggal dunia tanpa meninggalkan zuriat. Ia difahamkan daripada firman Allah:
“Dan Kami jadikan zuriat keturunannya (Nabi Nuh a.s.) sahaja yang tinggal hidup (setelah kami binasakan kaumnya yang ingkar). Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian: Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam,” (al-Saffat [37:77-79]).
Ketika mengulas ayat ini para ulama menyebut zuriat berbagai bangsa manusia pada zaman seterusnya berasal daripada tiga anak baginda. Sam bin Nuh adalah bapa kepada bangsa Arab, Parsi dan Rom.
Yafith bin Nuh pula melahirkan bangsa Asia berkulit kuning. Ham bin Nuh pula melahirkan bangsa kulit hitam (Tafsir Ibn Kathir). Hanya Allah yang paling mengetahui perkara ini.
Pun begitu, ada juga sebahagian ulama mengatakan zuriat manusia tidak hanya terbatas kepada tiga anak Nabi Nuh itu sahaja, tetapi turut melibatkan para pengikut baginda yang berbaki di atas bahtera tersebut. Pendapat ini pula disandarkan pada umum ayat ini:
“(Wahai) keturunan orang yang telah Kami bawa bersama dengan Nabi Nuh (dalam bahtera) sesungguhnya dia adalah seorang hamba yang bersyukur,” (al-Isra’[17:3]).
Setelah kita tahu jasa baginda yang sangat besar ini, kita sebagai umat Islam wajib membalas jasa baginda dengan meneguhkan Tauhid dan hanya bertuhankan Allah. Hindarilah segala perbuatan syirik dan khurafat.
Masuklah melalui pintu agama yang sebenar (iaitu kefahaman sebenar al-Quran dan Sunnah) dan bukannya melalui bumbung atau tingkap, barulah kisah para Rasul terdahulu mampu menjadikan kita semua hamba Allah yang sejati.
Sumber: Utusan