Batal Lesen Rayani Air Jika DCA Tak Puas Hati Penjelasan

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai
ALOR GAJAH – Lesen perkhidmatan udara dan sijil pengendali udara syarikat penerbangan Rayani Air akan dibatalkan jika Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tidak berpuas hati dengan penjelasan mengenai operasi syarikat itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tindakan berkenaan akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kebolehan atau keupayaan syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia itu untuk meneruskan operasi mereka.

“Kita masih memberi peluang kepada Rayani Air memberi penjelasan kepada DCA berhubung isu yang timbul sepanjang operasinya bagi tempoh tiga bulan ini sebelum tindakan lanjut diambil.

“Ketika ini kita masih lagi mengadakan perbincangan dengan Rayani Air dan setakat ini kita belum mendapat maklumat lanjut untuk sebarang tindakan terhadap syarikat itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ‘Karnival Teguh Bersama’ di Machap Baru di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan penggantungan sementara Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air selama tiga bulan berkuat kuasa 11 April lepas.

Penggantungan sementara tersebut dikeluarkan DCA selepas syarikat yang baharu beroperasi pada Disember lepas itu mengumumkan menggantung operasi penerbangan mereka sendiri tanpa kebenaran DCA pada 8 April lepas.

Mengulas kegagalan Rayani Air menjelaskan tunggakan gaji pekerjanya, Liow berkata aduan itu boleh disalurkan kepada pihak berkuasa yang diwujudkan kerajaan bagi melindungi hak pekerja antaranya Jabatan Perhubungan Perusahaan.

Beliau berkata pekerja syarikat berkenaan juga berhak mengambil tindakan undang-undang sekiranya ia adalah jalan penyelesaian terhadap kegagalan majikan menjelaskan tunggakan gaji mereka.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata Malaysia, Australia serta China komited meneruskan operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sehingga meliputi keseluruhan 120,000 kilometer persegi kawasan selatan Lautan Hindi.

“Saya telah mengarahkan jawatankuasa teknikal terus mengadakan mesyuarat dengan dua negara ini untuk mempercepat pencarian MH370 di kawasan selatan Lautan Hindi dan operasi berkenaan juga akan mendapat sokongan dan bantuan Mozambique dan Afrika Selatan,” katanya.

Dilaporkan operasi pencarian pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi telah meliputi lebih 100,000 kilometer persegi dan dijangka berakhir pada Jun atau Julai ini.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014. – BERNAMA