Lt Kol (H) Che Hassan Che Johan |
ALOR SETAR - Persatuan Bekas Kakitangan Imigresen Malaysia mencadangkan supaya pelarian Rohingya diberikan kad IMM13 untuk membebaskan pergerakan mereka dalam negara ini untuk suatu tempoh tertentu.
Presidennya, Lt Kol (H) Che Hassan Che Johan berkata, pandangan itu tiada kaitan dengan isu pekerja asing, sebaliknya ia atas dasar keperimanusiaan sejagat sementara mereka dihantar pulang ke negara asal atau negara ketiga.
“Kita mesti tolong mereka atas dasar persaudaraan sesama Islam. Kita dituntut membantu mereka yang ditindas dan lari daripada kekejaman. Ada empat perkara yang kita kemukakan untuk diambil perhatian kerajaan.
“Pertamanya memberi layanan kepada anak-anak dan wanita; beri pendidikan kepada anak-anak; tempat tinggal dan kualiti makanan yang seimbang. Empat perkara asas ini adalah untuk mereka hidup seharian,” katanya.
Difahamkan, setakat ini terdapat 333 pelarian Rohingya ditempatkan di Kem Belantek, Sik. Masing-masing melibatkan 174 lelaki, wanita (71), kanak-kanak lelaki (58) dan kanak-kanak perempuan (30).
Menurut Che Hassan lagi, perkara itu tidak bermakna kerajaan perlu membantu mereka dengan menggunakan hasil dana pembayar cukai di negara ini.
“Itu bukan tujuan kita. Apa yang saya maksudkan ialah kita cuba buat bagi mereka senang dan bebas bekerja tanpa gangguan mana-mana pihak. Kita boleh ambil contoh seperti pelarian semasa tsunami daripada Aceh dan pelarian di Sabah.
“Kita minta mereka bukanlah diberi satu pas yang mutlak, tapi sementara seperti yang dilaksanakan di Sabah kepada pendatang-pendatang di negeri itu. Kita buat program pendaftaran dan pada masa sama, kita wartakan tindakan itu supaya tidak dipersoalkan dari segi undang-undang,” katanya.
Che Hassan berkata, akhirnya kutipan bayaran perkhidmatan mungkin boleh dikenakan kepada pelarian itu sebagai pulangan hasil kepada kerajaan.
“Saya melihat mereka ini berbeza dengan isu Pati (pendatang asing tanpa izin) yang datang ke sini untuk tujuan bekerja. Mereka ini pelarian yang perlu kita lindungi, tapi pergerakan bebas mereka ini mestilah dijamin keselamatannya.
“Sampai bilakah kita nak menolong mereka sebagai pelarian dari kekejaman. Saya harap Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) berusahalah selesaikan isu yang melibatkan kegelisahan di negara ini,” katanya.
Jelasnya, cadangan pemberian kad IMM13 hanyalah bersifat sementara dan asasnya seperti kad kuning yang dipegang rakyat asing untuk bekerja di negara ini buat sementara waktu.
“Misalnya di Sabah, sebelum ini kita keluarkan kad IMM13, satu pas untuk mereka berjalan dalam negara dan terhad selama setahun. Dalam IMM13, dia ada sektor yang boleh bekerja seperti perladangan, pasar, buruh dan pembantu kedai. Ia tidak ada peraturan seperti pekerja asing.
“Perdana Menteri perlu lihat soal ini kerana Rohingya adalah umat Islam yang ditindas kekejaman oleh pihak tertentu. Ini soal masa depan mereka, kita patut beri perhatian serius dalam perkara ini,” katanya.
Tegasnya, kerajaan wajar mempertimbangkan peluang untuk pelarian Rohingya tinggal di negara ini dengan tenang dan bergerak bebas tanpa gangguan seperti mereka berada di negara asal.
Sumber: Sinar Harian