Belum Sepakat, Tapi DAP Dakwa Boleh Tawan 22 Kerusi Di Sarawak


KUCHING - Walaupun Pakatan Harapan Sarawak masih belum mencapai kata sepakat mengenai pembahagian kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, awal-awal lagi DAP Sarawak mula memasang angan-angan untuk memenangi sekurang-kurangnya 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata, DAP Sarawak akan bertanding sekurang-kurangnya di 18 kerusi luar bandar dan yakin mampu menawan lima hingga 10 kerusi Dun itu.

"Kami yakin untuk menembusi kawasan pedalaman dalam pilihan raya negeri. Tambahan pula, saya berpendapat kami mempunyai peluang yang agak baik untuk mengekalkan 12 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya negeri sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sebelum ini, DAP Sarawak mengumumkan ia akan bertanding di 30 kerusi. Semalam, Parti Amanah Negara (Amanah) turut mengumumkan parti itu akan bertanding di 13 kerusi Dun, termasuk di luar bandar dan bandar pada PRN akan datang.

Sebelum ini, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian mengumumkan bahawa PKR dijangka bertanding di 40 kerusi Dun dan pertindihan tuntutan kerusi tidak wujud.

Namun begitu, Pas yang tidak termasuk dalam Pakatan Harapan mengumumkan akan bertanding di 11 kerusi Dun pada PRN kali ini.    

Sebanyak 11 kerusi Dun baharu diperkenal pada PRN kali ini berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tahun lepas, menjadikan kesemuanya 82 kerusi.

Pada pilihan raya negeri 2011, BN menguasai 55 daripada 71 kerusi dalam Dun Sarawak manakala DAP memenangi 12 kerusi (Padungan, Pending, Kota Sentosa, Batu Kawa, Jepok, Meradong, Bukit Assek, Dudong, Pelawan, Kidurong, Piasau, dan Pujut), PKR (Batu Lintang, Krian dan Ba'Kelalan) dan satu kerusi disandang wakil bebas (Pelagus). - Bernama