Bintang WWE, Chyna Ditemui Mati Di Rumahnya Di LA

Chyna
LOS ANGELES - Bekas ahli gusti WWE dan bintang realiti TV, Chyna, ditemui mati di rumahnya di Los Angeles pada Rabu. Dia berusia 45 tahun.

Punca rasmi kematian tidak diketahui. Chyna, yang nama sebenarnya ialah Joanie Laurer, dilaporkan dijumpai mati di dalam rumah Redondo Beach miliknya. Berita itu diumumkan menerusi akaun Facebooknya, lewat Rabu.

"Dengan rasa sedih yang mendalam, dimaklumkan kepada anda hari ini bahawa kita telah kehilangan ikon dan seorang wira kehidupan yang sebenar. Joanie Laurer aka Chyna, telah meninggal dunia. 

"Dia akan selama-lamanya terus menjadi kenangan dalam hati jutaaan peminat dan kita semua yang menyayanginya," tulis posting itu.

Chyna telah muncul dalam beberapa rancangan TV sejak dua dekad yang lalu, termasuk 'Surreal Life' dan 'Celebrity Rehab' di VH1.

Beliau juga menjadi tetamu bintang dalam '3rd Rock from the Sun' dan 'The Nick Cannon Show'.

Ahli gusti terkenal dan pelakon ini kemudian muncul dalam majalah Playboy sebelum membintangi beberapa filem dewasa, termasuk "She-Hulk XXX." Dia kemudian berpindah ke Jepun untuk mengajar bahasa Inggeris.

Sumber: mStar