Bot Karam: Seorang Pemancing Hilang, 8 Lagi Terselamat

Gambar Hiasan
JOHOR BAHARU – Seorang pemancing dikhuatiri hilang manakala lapan lagi rakannya terselamat setelah bot mereka karam di perairan Tanjung Sedili dekat Kota Tinggi kira-kira 1 pagi semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud berkata mangsa yang hilang dikenali sebagai Mohd Nor Kelewon, 31, dari Simpang Renggam.

Mereka yang terselamat pula dikenali sebagai Mohd Firdaus Hussin, 28, Sadri Baharudin, 26, Shahrizal Mahat, 28, Rosita Sakarudin, 30, Ishak Bidin, 54, Andriko Nasrul, 34, manakala dua lagi mangsa belum diketahui identitinya.

Menerusi satu kenyataan di sini semalam, Amran berkata kesemua mereka dilaporkan keluar memancing di perairan itu pada pukul 4 pagi semalam sebelum bot mereka tiba-tiba mengalami kebocoran dan menyebabkannya karam.

“Lapan daripada mereka menyelamatkan diri dengan berpaut pada tong dan pelampung selama tujuh jam sebelum diselamatkan sebuah bot nelayan tempatan kira-kira 13 batu nautika Tenggara Tanjung Sedili pada pukul 9 pagi tadi,” kata beliau. – BERNAMA