Buang Pekerja Mogok, Janji Bayar Gaji - CEO Rayani Air

Foto dimuatnaik di Facebook Ravi Alagendrran pada 22 Nov 2015.
KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rayani Air Ravi Alagendrran membidas kakitangan yang mengumumkan rancangan mahu merampas kuasanya dalam syarikat itu dan mencadangkan supaya mereka ‘memulakan syarikat penerbangan sendiri jika mereka begitu bijak’.

Walau bagaimanapun, beliau yang didakwa tidak membayar tunggakan gaji 400 kakitangan dan tidak memotong wang Kumpulan Wang Simpanan Majikan (KWSP) berkata, beliau akan memastikan pekerja-pekerjanya berkenaan mendapat wang mereka.

Antara caranya adalah memuktamadkan perjanjian dengan pelabur untuk menjual 51 peratus pegangan saham dalam syarikat penerbangan itu.

“Ya, saya akan bayar mereka. Saya mempunyai para pelabur. Tengoklah mereka (pekerja), anda fikir mereka boleh bawa masuk pelabur?.

“Mereka terlalu mengikut emosi mereka seperti budak-budak,” kata Ravi kepada The Star dalam satu temu bual telefon, sambil menambah beliau merancang untuk memberhentikan separuh daripada tenaga kerjanya.

“Saya akan buang semua orang-orang ini,” tambah Ravi, berang.

Beliau menyalahkan mogok pekerjanya yang telah menjauhkan pelabur dan meletakkan syarikat penerbangan itu dalam masalah kewangan.

Pada Jumaat, kakitangan dari bahagian operasi dan kejuruteraan Rayani Air mengumumkan bahawa mereka sedang dalam perbincangan dengan beberapa pelabur untuk membeli majoriti saham dalam syarikat penerbangan itu daripada Ravi, selain mengatakan bahawa mereka tidak mahu CEO itu menerajui syarikat berkenaan lagi.

Mereka juga mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ravi dan isterinya, Datuk Karthiyani Govindan jika gaji mereka bagi bulan Mac tidak dibayar manakala KWSP juga tidak dipotong.

Bantahan yang diketuai oleh Pengurus Operasi Rayani Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Zulkalnain Azdan itu mendakwa Ravi tidak mempunyai pengalaman penerbangan dan mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap kakitangan.

Sebagai tindak balas, Ravi mendakwa Zulkalnain asalnya diupah sebagai pencuci pesawat tetapi beliau telah dipaksa untuk menaikkan pangkatnya kepada pengurus stesen oleh kakitangan atas sebab tertentu.

Rayani Air yang memulakan operasi sejak Disember lalu adalah syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang beroperasi berlandaskan patuh syariah.

Pada 11 April, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah mengeluarkan arahan pergantungan sementara Sijil Operator Udara Rayani Air selama tiga bulan selepas syarikat itu berdepan banyak aduan dan menggantung sendiri operasinya untuk penstrukturan semula.

Sumber: mStar