Catu Air Di Kedah Jika Keadaan Memerlukan - Ahmad Bashah


LANGKAWI – Kerajaan Negeri Kedah akan mengkaji kesan operasi pembenihan awan yang bermula hari ini dan hanya akan mengambil langkah catuan air jika keadaan memerlukan.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata operasi yang akan berlangsung selama seminggu diharapkan akan dapat menghasilkan hujan dan mengurangkan kesan dari keadaan kering yang berpanjangan di negeri ini.

“Kalau Perlis beri tempoh dalam empat hari, kita tengoklah dalam tempoh (seminggu) ini kita akan beri keputusanlah, sama ada kita akan catu,” katanya selepas mempengerusi majlis mesyuarat kerajaan negeri di sini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man semalam bahawa catuan air akan dijalankan di negeri itu dalam tempoh empat hari lagi sekiranya paras air di empangan utamanya terus menyusut.

Menurut Ahmad Bashah, penghantaran air bersih menggunakan lori tangki dan beberapa langkah lain turut dikenalpasti untuk memastikan penduduk di negeri ini terus mendapat bekalan mencukupi. – BERNAMA