Gambar yang dimuat naik kumpulan Abu Sayyaf di Facebook ini dipercayai adalah rakyat Malaysia. |
KOTA KINABALU - Kumpulan lelaki bersenjata yang menyimpan empat rakyat Malaysia di kubu kuat Abu Sayyaf di Jolo kelihatan terdesak untuk 'menukar' tawanan mereka itu bagi mendapatkan wang tunai.
Pandangan itu dinyatakan aktivis anti penculikan yang berpengkalan di Jolo, Prof Octavio Dinampo.
Katanya, gambar empat mangsa yang dimuat naik di Facebook adalah bertujuan untuk memberi tekanan kepada keluarga mereka.
Tambah beliau, pihak berkuasa Malaysia dilihat tidak lagi bersedia untuk mengambil pendekatan yang lembut untuk tawar menawar dengan pengganas itu.
"Ia dapat dilihat berdasarkan usaha kerajaan Malaysia untuk menghentikan semua perdagangan tukar barang antara Sabah dan selatan Filipina," kata Prof Dinampo ketika dihubungi.
Katanya, penamatan perdagangan tukar barang telah menyebabkan kenaikan harga barangan asas seperti beras dan bahan api di wilayah Selatan Filipina iaitu Sulu.
Jolo dan Tawi Tawi berada di daerah itu.
Pada Khamis lalu, gambar empat rakyat Malaysia yang diculik dari sebuah kapal tunda di perairan Pulau Ligitan berhampiran Semporna telah dimuat naik di Facebook.