MAXIS adalah merupakan salah satu pembekal telekomunikasi gergasi di Malaysia, namun sedang dikritik pengguna kerana dikatakan memberi tawaran menarik atau murah secara tidak sama rata kepada pelanggan setianya.
Sebaliknya, tawaran menarik didakwa hanya diberikan kepada pelanggan yang mahu memutuskan talian dengan Maxis dan bercadang untuk beralih ke syarikat telekomunikasi pesaing mereka seperti Celcom, Digi, Tunetalk dan sebagainya.
Isunya bermula apabila seorang pelanggan yang setia gunakan khidmat Maxis selama 10 tahun, mendapat tahu rakannya menerima tawaran istimewa daripada Maxis selepas ambil keputusan menamatkan taliannya dengan syarikat itu untuk bertukar kepada Celcom.
Si rakan itu kemudiannya menerima beberapa panggilan telefon daripada Maxis yang memberinya 4 tawaran menarik agar terus menyambung khidmat dengan mereka iaitu:
Tawaran 1: Percuma Samsung Note 5 + RM128/sebulan + 5 GB Data + Unlimited Call & SMS + Kontrak 2 TahunTawaran 2: RM88/sebulan + 8GB Data + Unlimited Calls & Sms + Tiada KontrakTawaran 3: RM68/sebulan + 5GB Data + Unlimited Calls & Sms + Tiada KontrakTawaran 4: RM68/sebulan + 7GB Data + Unlimited Calls & SMS + Tiada Kontrak
Rakannya menerima tawaran keempat lalu kembali kepada Maxis.
Sehubungan itu pelanggan berkenaan yang menggelar dirinya Jackson5759, berasa geram kerana dia sudah hampir 10 tahun menggunakan talian Maxis dengan 5 nombor telefon didaftar bawah kad pengenalannya, tetapi tidak pernah menerima tawaran menarik sebegitu, malah dia bersama Maxis jauh lebih lama daripada rakannya itu dan membayar bil lebih tinggi.
Apabila dia menghubungi Talian Khidmat Pelanggan Maxis jawapan yang diterima adalah mereka tidak tahu apa-apa tentangnya dan tak ada apa boleh dilakukan untuk membantu.
Hal ini tambah menyakitkan hati Jackson5759 memandangkan rakannya kini hanya perlu membayar RM68 untuk pelan sama yang dibayarnya RM188 sebulan.
Dia kemudiannya mengepos isu ini di Forum Low Yat sambil berkongsikan satu lagi promosi terbaharu yang dianggapnya mengelirukan dan tidak diberi sama rata oleh Maxis kepada pelanggan mereka iaitu diskaun RM30 hanya untuk pelanggan di Sabah & Sarawak atau data extra 2GB.
Jackson5759 turut berkongsi info mengenai deposit sebanyak RM1,200 yang tidak terus dipulangkan kepada pelanggan mereka selepas sistem deposit tidak lagi digunapakai Maxis dan hanya akan diberi selepas mereka menamatkan khidmat talian telekomunikasi itu.
Setelah nekad meninggalkan Maxis dan beralih kepada Celcom, seperti apa dijangka Jackson5759, dia akhirnya menerima panggilan daripada ‘Bahagian Setia’ Maxis yang menawarkan kepadanya pelan RM68 + 5+2GB (Sabah Sarawak Offer) + Unlimited Calls & Sms yang sebelum ini tidak diberikan walaupun puas dimohonnya atas tiket pelanggan setia Maxis.
Sehubungan itu dia menyelar cara Maxis baginya seakan-akan memperbodohkan pelanggan kononnya tawaran istimewa diberi kepada pelanggan terpilih sedangkan ia sebenarnya diberi kepada pelanggan yang beralih kepada syarikat pesaing mereka.
Maxis kemudiannya, bertindak menjawab isu dibangkitkan Jackson5759 sebagaimana di bawah:
Dalam erti kata lain, Maxis tidak mengaku mereka hanya beri tawaran menarik kepada pelanggan yang mahu memotong perkhidmatan mereka dengan Maxis sebaliknya kerana lain-lain faktor dan menyifatkan aduan Jackson5759 telah ditokok tambah.
Bagaimanapun, penerangan diberikan Maxis ternyata hanya menaikkan kemarahan penggunanya yang lain apabila ramai tampil mempertikaikan mengapa kesetiaan mereka termasuk ada yang sudah berbelas tahun bersama Maxis tidak layakkan mereka terima tawaran menarik.
Jadi apa kata Maxis? Apa pun alasannya adalah tidak adil memberi tawaran dengan faktor yang tak dapat diperjelaskan dan kesetiaan pelanggan bukan yang utama diambil kira.
Sehingga kini dikatakan Maxis masih gagal memberi jawapan yang memuaskan majoriti pelanggannya berkenaan isu yang dibangkitkan.
Mungkin Maxis mempunyai penerangan lebih memuaskan selepas ini? Sama-sama kita nantikan. –Kedahnews.com