Penganalisis politik melihat prestasi terbaik yang boleh dicapai DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak adalah mengekalkan status quo yang dimilikinya dalam PRN lalu, iaitu 12 kerusi.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, untuk seteruk-teruk prestasi sekalipun, DAP mungkin akan kehilangan empat kerusi.
Prof Madya Dr Jeniri Amir |
Namun menurut beliau, peluang cerah menanti DAP jika perbalahan dalaman yang berlaku antara Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sejak sekian lama berlarutan hingga selepas penamaan calon.
“Jika masih belum selesai dan mereka pasti tidak akan dapat menyelesaikannya walaupun selepas ditampilkan calon langsung, maka sebenarnya masih ada cahaya di hujung terowong untuk DAP.
“Sebab jika berlaku pertembungan antara UPP dan SUPP walaupun tidak secara terbuka selepas hari penamaan calon, maka kita akan saksikan sabotaj atau pulau-memulaukan malah mungkin boleh berlaku penyokong mereka menyokong parti lawan iaitu DAP. Dalam keadaan ini, DAP yang untung,” katanya kepada Sinar Online.
Menyentuh soal usaha Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem kepada rakyat di negeri itu, Dr Jeniri akui ia masih menjadi teka teki sama ada segala usaha kerajaan itu akan diterjemahkan dalam bentuk undi pada PRN nanti.
Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Suffian Mansor berkata, Pas masih gagal menambat hati rakyat negeri itu meskipun sudah bertapak di Sarawak sejak 1950-an lagi.
“Amanah pula terlampau baharu dan rakyat belum lagi memahami Amanah itu sendiri. Jika bertanding di kawasan Melayu atau Islam, agak sukar untuk menembusi kerusi PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) di mana PBB agak kuat di Sarawak.
“PKR kemungkinan berdasarkan peluang calon tempatan khususnya di kawasan bukan Islam, mereka kemungkinan mempunyai peluang dalam hal ini namun mungkin sekarang ini agak sukar untuk dipenuhi kerana kita lihat calon BN pun mempunyai kekuatan sendiri,” katanya.
Beliau melihat peluang DAP pula bergantung kepada percaturan Adenan dalam menentukan calon dan reaksi dari BN serta parti mesra BN.
Katanya, usaha Adenan terhadap Sarawak mewujudkan suasana gembira di hati rakyat dan pembangunan yang dilakukan dipercayai akan menjadi faktor yang memberi peluang cerah kepada BN untuk menang besar.
Sumber: Sinar Harian