Data Terkandung Dalam Sistem JPN Memang Mantap


PUTRAJAYA – Sistem teknologi maklumat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah mantap dan segala maklumat yang terkandung di dalamnya adalah utuh daripada digodam pihak asing, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata cip yang terdapat pada MyKad palsu yang dikeluarkan oleh sindiket tidak mengandungi sebarang data sebagaimana MyKad yang dihasilkan JPN.

“MyKad palsu dibuat oleh sindiket bukannya dibuat oleh anggota JPN dan tidak melibatkan penyelewengan oleh pegawai JPN,” katanya mengulas laporan media berhubung warga asing yang dikesan memiliki MyKad palsu.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 345 warga kerja JPN dari seluruh negara di sini hari ini, Nur Jazlan berkata pemeriksaan JPN terhadap dokumen pengenalan dari semasa ke semasa akan mampu mengesan MyKad palsu.

Hari ini dilaporkan seramai 22 warganegara Filipina, masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Manjung setelah mengaku salah atas tuduhan menggunakan MyKad palsu dan kepunyaan orang lain.

Minggu lepas tiga pengawal keselamatan warga asing di sebuah taman perumahan di Temasya Glenmarie, Shah Alam, Selangor ditahan kerana disyaki menggunakan MyKad palsu. – BERNAMA