Dataran Zero: Penduduk Sungai Petani Resah Tindakan MPSP

Dataran Zero (Gambar Hiasan)
Sepucuk surat atau memo yang disiarkan salah seorang ahli kumpulan Penduduk Sungai Petani mencetus keresahan ramai apabila dikatakan pihak Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) berkenaan aktiviti di kawasan Dataran Zero.

Menurut memo dari Yang DiPertua MPSP, Abdul Rashid Othman yang ditujukan kepada Ketua-Ketua Jabatan Penguatkuasaan, Kesihatan dan Perlesenan itu, beliau mengarahkan supaya tindakan bersepadu dibuat bagi mengatasi masalah penjaja haram dan penyewa kasut roda di kawasan tumpuan berkenaan.

Butiran di memo itu menjelaskan tentang banyak aduan yang telah diterima MPSP berkenaan penjaja haram dan penyewa kasut roda yang menyebabkan kesesakan lalulintas di Dataran Zero.


Selain itu, aktiviti itu juga dikatakan menjadi punca berlaku kerosakan dan mengotorkan kawasan berkenaan selain dikatakan tidak sesuai untuk tujuan aktiviti yang diadukan.

Surat berkenaan telah mencetus pelbagai reaksi dari ahli-ahli kumpulan Penduduk Sungai Petani yang menyifatkan tindakan MPSP sebagai tidak wajar dan pihak berkuasa itu tidak akan menunggu lama untuk "mengacau".


"Blh je kan kalau mpspk nak support peniaga melayu. Tutup je jln tu hari pd mlm jumaat sabtu ahad dr pukul 8pm sampai kul 2am ke kan. Pastu kalau takut rugi kutip sewa tapak kat peniaga semlm rm5 ke," tulis Syasha Daniel.

"Bila budak2 merempit korang marah...bila ada aktiviti riadah macam ni dok p kacau plak....makan nasi goreng mad maslan bnyak sangat ni," tulis Zaharil Md Salleh.

"Biasa lah tu kalau orang melayu nak mniaga ja mesti kena kacau..tapi pekan lama cina mniaga smapi rapat jalan kacau lalu lintas xdak tindakan apa2 pon..," tulis Mohd Sharhan Caan pula.

"Biasa la...dh org Islam nk cari mkn ada ja yg x senang dok...kt pekan lama tu tiap2 mlm jem dgn keta pking tepi jlan.. Kdai2 kecik nega tepi jalan bezaman dh xdak pn org nk pi saman ka nk sita ka apa..mai melayu nk cari mkn jln jem la...kotoq la..Smua ada kt depa...nk kutip Duit tapak habaq ja la..org byaq aih...," komen Mohd Firdaus Mohd Faisol.

"Dah boleh tau… xtiviti kat dataran zero tu tak kan lama… mesti mpsp kacau..adat la klu tak boleh masyuk mesti kena kacau dgn mpsp," komen pemilik akaun Facebook, Zaliza Zakaria.

Namun persepsi Zaliza itu disangkal oleh seorang pengguna muda lain, Zulfahmi Mohammad Afandi yang bersetuju dengan tindakan MPSP itu dan menekankan soal keselamatan pengguna yang lebih perlu dititik beratkan.

"Pendapat saya sebagai orang muda yg jiwa lebih kurang macam budak2 dok main kt dataran tuu. Nii bukan sebab masyuk atau tak. Nii sebab keselamatan. Jalan utama belah jam besaq tuu dh semakin semak dngn budak2 dok main kt tengah jalan. Takkan Bila sorang kena langgaq baru nk start kawal/mintal pihak atasan kawal," tulisnya.

Kenyataan Zulfahmi itu disokong pula oleh Nur Amira yang mendakwa dia terpaksa mengelak kenderaannya dari melanggar pemain kasut roda di Dataran Zero.

"Betoi. Ni sampai kita hat naik keta plak kena dok elak dari depa. Depa buleh dok buat mcm jalan mak pak depa plak dok main mnatang RB tu. Nak main main la, sapa larang, tapi cari tempat yg sesuai. Bukan atas jalan raya. Bahaya," tulisnya.

Berikut di bawah adalah beberapa komen yang dipetik dari "group berkenaan". -Kedahnews.com