Didakwa Mahu Kembali Sertai PKR, Ini Jawapan Dari Ezam

Bekas Senator, Mohamad Ezam Mohd Noor
SHAH ALAM - Bekas Senator, Mohamad Ezam Mohd Noor menafikan akan menyertai semula politik selepas namanya dikaitkan semula untuk balik menyertai PKR dalam masa terdekat ini.

Difahamkan sebuah portal mendakwa kemasukan semula Mohamad Ezam ke PKR bagi membantu mengukuhkan politik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden parti.

"Saya telah lama tinggalkan politik dan tiada rencana kembali ke politik, memang saya ada mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh politik pelbagai parti semasa di Malaysia tetapi topiknya rasuah, bukan politik.

"Sama juga keputusan saya tinggalkan jawatan saya di MOF (Kementerian Kewangan) ianya berkait soal rasuah," katanya yang dipetik menerusi entrI terbaharu Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata demikian selapas sebuah portal berita yang memetik sumber mengatakan beliau akan kembali ke arena politik dengan menyertai semula PKR.

Jelas Ezam, tumpuan beliau kini hanya pada Hisbah Centre For Reform yang berpusat di Indonesia, iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menjalankan aktiviti anti-rasuah.

Sebelum ini, bekas Ketua Angkata Muda Keadilan ketika awal penubuhan PKR itu menyifatkan dakwaan sebuah portal itu sebagai khabar angin dan berniat jahat.

Ezam dilaporkan telah mengadakan perjumpaan dan beberapa perbincangan dengan Wan Azizah untuk membantu mengukuhkan sokongan politik Ketua Pembangkang yang semakin merosot.

Ezam dikatakan akan diberi peranan dan tanggungjawab untuk mewujudkan ‘check and balance’ di dalam parti yang ketika ini sedang didominasi oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ezam sebelum ini melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Negara yang disandangnya sejak 2010 apabila dilantik sebagai Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan berkuat kuasa 15 Mac 2014.

Bagaimanapun pada 1 April lalu, Ezam tidak lagi berkhidmat dengan Kementerian Kewangan, walaupun kontraknya masih berbaki sehingga tahun depan.

Mohamad Ezam sebelum ini meninggalkan PKR pada tahun 2007 kerana hilang keyakinan terhadap bekas bosnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menyertai semula Umno pada tahun 2008.

Sumber: Sinar Harian