Didakwa "Meninggal Dunia", Awie Jawab Tukang Fitnah

Awie
PETALING JAYA - Penyanyi dan pelakon Awie menyifatkan penyebaran berita kononnya dia meninggal dunia pada Sabtu lalu sebagai perbuatan fitnah dan hasad dengki manusia terhadapnya.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, berkata, dia berharap peminat tidak mudah terpedaya mengenai laporan berkenaan kerana dia kini berada dalam keadaan sihat.

"Jangan mudah terpedaya dengan berita berkenaan dan saya minta peminat mendoakan kesejahteraan saya semoga terlindung dari fitnah dan hasad dengki manusia," katanya.

Awie yang kini berada di Phuket, Thailand bagi menjalani penggambaran filem Bikers Kental 2 membuat penjelasan itu menerusi rakaman video dan ia dimuatnaik menerusi laman sosial Facebook dan Instagram miliknya pada malam Sabtu lalu.

Berita mengatakan vokalis kumpulan Wings itu meninggal dunia menjadi viral di laman sosial dan ia bukan kali pertama Awie difitnah sedemikian rupa.

Sebelum ini, berita kematian penyanyi itu menjadi kecoh apabila ada sesetengah pihak memanipulasi laporan mengenai seorang lelaki yang turut dikenali sebagai 'Awie Lahad Datu' meninggal dunia akibat kemalangan pada November 2013.

Dalam pada itu, Awie dalam video sama memberitahu dia kini sedang sibuk dengan penggambaran filem Bikers Kental 2 dan sudah tiga minggu berada di Phuket, Thailand.

Ia diarahkan oleh Helmi Yusof dan turut menggandingkan Awie dengan Zizan Razak.

Sumber: mStar