Dikecam Caj Aircond RM10, Restoran Mamak Beri Penjelasan


TINDAKAN sebuah restoran mamak di ibu negara yang mengenakan caj pendingin hawa sebanyak RM10 kepada pelanggan, menerima kritikan netizen di media sosial.

Perkongsian yang dimuat naik oleh seorang pelanggan menerusi gambar bil bertarikh 15 April itu memaparkan pada jam 8 malam, dia bersama rakan-rakannya setelah menjamu selera di restoran itu, terkejut setelah melihat kembali bil yang memaparkan caj pendingin hawa sebanyak RM10.

Gambar resit tersebut kini giat diperkongsikan warga maya yang mana turut menimbulkan pelbagai persoalan, serta ada yang dilihat mahu memboikot restoran mamak itu.

Melihat perkara tersebut, memetik laporan portal Sin Chew Daily, pengurus kepada premis mamak itu tampil menjelaskan yang mana telah berlaku kesilapan kakitangan ketika memberikan bil kepada pelanggan terbabit.

Jelasnya, jika pelanggan menggunakan bilik di tingkat atas restoran itu untuk mengadakan mesyuarat atau berjumpa rakan-rakan tanpa memesan makanan atau minuman, maka pihaknya akan mengutip RM10 caj pendingin hawa daripada mereka yang duduk melebihi dua jam di premis berkenaan.

Tetapi, jika mereka ada pesan makanan dan minuman, maka caj itu tidak akan dikenakan.

“Sejak bil itu tersebar di Internet, ramai pelanggan datang dan bertanyakan perkara sebenar.

“Saya mahu tegaskan, kami tak kenakan bayaran itu. Ini adalah kesilapan pekerja ketika memberi bil itu kepada pelanggan. Kami telah buka bil lain dan tidak kenakan sebarang caj pendingin hawa kepada mereka,” jelasnya. -Kedahnews.com