BIASAKAN anak-anak dengan al-Quran dan zikir yang mudah serta ringkas, usaha ini akan mendekatkan mereka dengan ajaran-ajaran Islam. - GAMBAR HIASAN |
TIDAK pernah Salmah menyangka keterujaan anaknya, Shasya menulis karangan mengenai perbezaan antara Kristian dan Islam yang diberikan oleh seorang guru Bahasa Inggeris telah meninggalkan titik hitam dalam keluarganya.
Kerana keinginan anaknya mendapatkan maklumat lanjut untuk melengkapkan karangannya itu telah mengubah persepsi anaknya terhadap Islam. Shasya sering bertanya gurunya itu untuk mendapatkan idea lanjut.
Malangnya, sering kali dalam perbincangan itu, minda Shasya dipengaruhi apabila melihat amalan dalam Kristian lebih mudah berbanding Islam.
Misalnya, sembahyang hanya sekali sahaja iaitu di hujung minggu, berbanding Islam yang wajib dilakukan lima kali setiap hari. Bukan itu sahaja, untuk sembahyang pula perlu dimulakan dengan mengambil wuduk dan ini tidak berlaku dalam ajaran Kristian.
Manakala dalam amalan meminta ampun di atas dosa-dosa yang dilakukan, penganut Kristian hanya perlu meluahnya di hadapan paderi dan paderi akan mengampunkannya.
Berbeza dalam Islam, hanya Allah yang layak mengampunkan dosa seseorang dan ia perlu dilakukan dengan solat taubat secara bersungguh-sungguh. Semua ini bagi Shasya merumitkan untuk dilakukan.
Perubahan sikap Shasya sangat ketara. Dia mula bertanya macam-macam dan cuba mendapatkan jawapan bersandarkan kepada logik akal.
Banyak perkara dipertikaikan termasuklah amalan berpuasa, haji dan berpuasa. Ternyata hujah-hujah yang dibawa oleh Shasya sangat meragukan dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Keadaan ini amat membimbangkan Salmah. Sebagai ibu, dia mati akal untuk menjawab setiap persoalan anaknya termasuklah mempertikaikan kewujudan Tuhan!
Shasya turut mempertikaikan kewujudan neraka sebagai tempat hukuman bagi orang berdosa. Dia selalu bertanya, kenapa Tuhan tidak jadikan manusia itu baik dan hanya mewujudkan syurga, kalau benar Tuhan itu Maha Pengasih?
Ternyata, Shasya sudah jauh daripada landasan akidah Islam. Dia seolah-olah menolak untuk melihat keindahan Islam sebaliknya hanya tahu berbicara tentang agama yang selain Islam.
Sekalipun Shasya hanya berusia 12 tahun, namun kepetahannya berhujah benar-benar membuatkan Salmah runsing, khuatir anaknya berubah akidah!
Sumber: Utusan