Dr Mahathir Hanya Akan Beri Kenyataan Pada Media Asing

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mendakwa Dato' Seri Najib Tun Razak sudah "menutup mulut" semua media di Malaysia dari melapor kenyataannya yang menyerang Perdana Menteri dan dasar-dasar kerajaan.

Menurut Dr Mahathir, semua saluran untuk menyatakan "kebenaran" beliau itu telah disekat Najib menyebabkan beliau tiada pilihan lain untuk hanya memberi kenyataan kepada media asing sahaja.

"Saya tak minta campur tangan luar. Saya katakan bahawa semua saluran untuk menyatakan kebenaran di negara ini telah disekat oleh Najib.

"Saya akan beritahu media asing mengenainya," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau pada masa yang sama turut menafikan mahu kuasa asing mencampuri urusan dalaman negara ini dalam usahanya untuk "menyelamatkan Malaysia" bersama DAP dan rakan-rakannya yang lain.

Sebelum ini, Dr Mahathir dikritik banyak pihak kerana dikatakan melanggar prinsipnya sendiri apabila meminta campur tangan asing dalam urusan dalaman negara ini.

Dr Mahathir dalam wawancara dengan akhbar Australia, The Weekend Australian, dilaporkan berkata bahawa harapan supaya Najib selaku Perdana Menteri berundur adalah tipis sekiranya tidak mendapat "tekanan pihak luar". 

Walau bagaimanapun, beberapa media pro-pembangkang khususnya Malaysiakini.com dilihat sering menyiarkan kenyataan-kenyataan bekas Perdana Menteri itu sejak beliau melancarkan "perang" terhadap Najib dan kepimpinan beliau.-Kedahnews.com