Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak |
KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya keliru mengenai Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Salleh dalam catatan terbaharu blog beliau (keruak.blogspot.com) pada Ahad malam memetik kenyataan Dr Mahathir: "Saya percaya (OSA) adalah untuk menghukum mereka yang membocorkan dokumen pentadbiran kerajaan mengenai dasar, kertas Kabinet dan cukai.
Salleh berkata, Dr Mahathir juga berkata OSA adalah untuk mencegah maklumat daripada dipergunakan oleh individu, syarikat atau kerajaan asing demi faedah mereka dan ia tidak bermaksud untuk menyimpan rahsia jenayah yang dilakukan oleh pegawai, pekerja atau individu.
"Jenayah seperti ini perlu dilaporkan atau didedahkan oleh sesiapa yang mengetahuinya. Prosiding jenayah haruslah dipatuhi," kata Dr Mahathir.
Sambil merujuk kepada kenyataan Dr Mahathir, Salleh berkata pertama sekali, semua orang perlu memahami isu tentang pemberi maklumat dan hak-hak pemberi maklumat mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA) 2010.
"WPA menyatakan bahawa pemberi maklumat boleh memberikan bukti sekiranya ia diperoleh secara sah menerusi kerja mereka. Ungkapan di sini adalah 'diperoleh secara sah menerusi kerja mereka'.
"Ia tidak melindungi pencurian data atau dokumen atau maklumat yang diperoleh secara haram, ini adalah satu aspek yang sangat penting dalam WPA yang sama ada Dr Mahathir tidak memahaminya atau tidak memberitahu kita," kata Salleh.
Secara ringkasnya, seseorang tidak boleh melawan jenayah dengan melakukan jenayah, dan sebarang dokumen atau fail yang dicap 'RAHSIA' adalah di bawah perlindungan OSA, katanya.
Salleh berkata, seperti yang dikatakan secara sinis oleh Allahyarham Raja Aziz Addruse (seorang peguam dan bekas presiden Majlis Peguam) di mahkamah pada 2002 mengenai kes Mohamad Ezam Mohd Nor (bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat), walaupun kertas tandas dicap 'RAHSIA', sesiapa yang memiliki kertas tandas itu telah melakukan suatu jenayah dan boleh dipenjarakan.
"Mohamad Ezam didapati bersalah dan dikenakan hukuman penjara dua tahun oleh kerajaan Dr Mahathir kerana melanggar OSA, walaupun beliau berkata benar. Jenayah Mohamad Ezam adalah untuk mendedahkan penyelewengan oleh orang tertentu yang berkuasa.
"Dalam erti kata lain, bukannya kandungan fail itu yang penting, malah ia mungkin hanya menu makan malam jabatan yang sama sekali tidak sensitif kepada keselamatan negara. Perkara utamanya adalah klasifikasi 'Rahsia Besar' fail berkenaan," kata Salleh.
Beliau berkata, sudah semestinya Dr Mahathir, yang menyandang jawatan perdana menteri selama 22 tahun, memahami tentang klasifikasi 'Rahsia Besar' dan fail, kertas atau dokumen tertentu yang tidak memerlukan cap 'RAHSIA' tetapi dilindungi secara automatik di bawah OSA, dengan atau tanpa sebarang cap RAHSIA.
"Ini adalah asasnya, ia membingungkan apabila Dr Mahathir seolah-olah tidak memahami mengenai perkara ini, dan lebih membingungkan lagi adalah hakikatnya bekas perdana menteri itu telah menghantar Mohamad Ezam ke penjara kerana melakukan apa yang beliau (Dr Mahahir) kata, rakyat Malaysia harus lakukan," kata Salleh. - Bernama