Ishak menunjukkan ikannya yang mati akibat cuaca panas melampau. |
KUALA NERANG - Seorang penternak ikan air tawar di Felda Bukit Tembaga dekat sini, kerugian puluhan ribu ringgit apabila tiga daripada empat kolam ikannya mengalami kekeringan akibat El Nino.
Ishak Ibrahim, 53, berkata, setiap hari dia terpaksa membuang kira-kira 30 hingga 50 ikan yang mati di dalam kolamnya.
Menurutnya, kolam ikannya itu mula mengalami kekeringan sejak Februari lalu.
"Saya ternak dua jenis ikan iaitu talapia dan lampam.
"Sejak negeri ini dilanda cuaca panas, saya juga terpaksa memindahkan anak-anak ikan ke dalam kolam lain bagi mengelakkannya mati," katanya.
Ishak berkata, kini dia hanya bergantung kepada satu kolam sahaja bagi meneruskan aktiviti penternakan yang diusahakannya sejak...
"Kesemua ikan yang masih hidup akan dipasarkan pada Jun nanti.
"Diharap saya akan mendapat bekalan air bagi memastikan kesemua ternakan saya dapat dipasarkan nanti," katanya.
Katanya, sebelum ini kawasan paya di situ tidak kering dan ini menyebabkan dia memilih kawasan itu dijadikan kolam.
“Sudah banyak modal saya laburkan dalam projek ternakan ikan air tawar ini.
"Jika masalah ini masih berlarutan, lebih banyak kerugian saya akan tanggung lepas ini," katanya.
Tambahnya, dia juga meminta pihak berkenaan tampil membantunya bagi memulihkan semula kolam ternakannya.
Dalam pada itu, Ishak berkata, selain ternakan ikan, 300 pokok pisang berangan yang ditanamnya sejak setahun lalu juga mati akibat El Nino.
“Pokok pisang itu sudah mula mengeluarkan buah tetapi apabila musim panas ini kesemuanya mati," katanya.
Sumber: Sinar Harian