El Nino: SADA Hantar 1.52 Juta Liter Air Sehari Pada Rakyat Kedah

ALOR SETAR - Syarikat Air Darul Aman (SADA) menghantar sebanyak 1.52 juta liter bekalan air bersih setiap hari ke kawasan yang mengalami tekanan air rendah akibat El-Nino di negeri ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Kedah, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata, penghantaran bekalan air bersih oleh lori itu  dilakukan di 168 kawasan seperti di daerah Pokok Sena, Kubang Pasu, Pendang, Padang Terap, Yan, Kuala Muda, Sik, Baling dan Kulim.

Beliau berkata, sebanyak 21,923 daripada 533,549 premis kediaman di negeri ini mengalami masalah tekanan air rendah pada waktu siang tetapi bagaimanapun tekanan air kembali normal pada waktu malam.

"Bagi mengatasi masalah ini SADA menyediakan 60 lori iaitu 18 milik syarikat itu dan 42 lagi disewa dari kontraktor serta disediakan oleh Anggota Parlimen Padang Terap, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Dawai, Adun Belantik dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK).

"SADA juga memberi keutamaan dengan menghantar bekalan air bersih kepada masjid, surau dan ke rumah yang mengadakan majlis kenduri serta kematian," katanya pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Aman di sini, semalam.

Sementara itu, Badrul Hisham berkata, sehingga semalam (24 April) jumlah air di empangan berada pada tahap selamat dengan Empangan Muda pada tahap 36.04 peratus, Pedu (63.44 peratus), Ahning (73.77 peratus), Beris (31.69 peratus) dan Malut (54.2 peratus).

Beliau berkata, beberapa empangan seperti Beris menunjukkan kapasiti air kurang daripada 50 peratus, manakala empangan Pedu dan Malut turut mencatatkan penurunan ketara akibat El-Nino. - Bernama