Empangan Pedu, Muda Jadi Kawasan Sasaran Pembenihan Awan


KUALA LUMPUR – Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dijalankan di beberapa lokasi kelmarin, bertujuan menangani jerebu dan krisis air, berjaya menghasilkan hujan di beberapa kawasan sasaran.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata operasi selama dua jam di Kudat, Kota Marudu dan Pitas, Sabah yang bermula pukul 2 petang itu, menghasilkan hujan di beberapa tempat di kawasan sasaran itu.

Katanya dua OPA turut dilaksanakan di Semenanjung semalam, satu berpangkalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dengan kerjasama TUDM bermula pada pukul 2 petang dan berakhir kira-kira pukul 5.45 petang.

“Kawasan sasaran merangkumi kawasan sekeliling Empangan Pedu dan Empangan Muda di negeri Kedah dan Empangan Bukit Merah di negeri Perak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya OPA yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas dengan kaedah pembakaran ‘flare’ oleh pesawat swasta pula bermula pukul 1.45 tengah hari dan berakhir pada pukul 4.55 petang.

Kawasan sasaran adalah kawasan tadahan iaitu Empangan Timah Tasoh di Perlis, Empangan Ahning, Pedu dan Muda di Kedah dan Empangan Bukit Merah di Perak.

“OPA ini berjaya menghasilkan hujan di kawasan Empangan Bukit Merah di Perak,” katanya. Operasi berkenaan bersambung semalam. – BERNAMA