FAM Tak Mahu Debat, Mahu Bincang Secara Tertutup


PETALING JAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menolak perdebatan terbuka dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sebaliknya bersedia mengadakan perbincangan secara tertutup.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya tidak bersetuju berbahas secara terbuka dengan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berhubung prestasi buruk skuad kebangsaan ketika ini.

“Secara peribadi, saya tidak pandai berdebat… saya rasa pandangan TMJ disalah tafsir. Beliau inginkan satu perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian membantu pasukan kebangsaan mencapai kejayaan.

“FAM daripada dulu lagi terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak.

“Tetapi saya tidak bersetuju mengadakan debat secara terbuka di televisyen, kerana perbincangan ini perlu mengikut mekanisme yang betul untuk mencapai kejayaan,” katanya pada sidang media bulanan FAM di Wisma FAM di sini semalam.

Setiausaha Agong Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri) memberi penerangan kepada wartawan pada sidang media bulanan skuad kebangsaan di Wisma FAM semalam. - Foto BERNAMA
Sidang media bulanan FAM itu merupakan kali pertama diadakan, sebagai saluran bagi menjelas dan menerangkan mengenai program latihan serta perlawanan diatur untuk skuad kebangsaan.

Selasa lepas, Tunku Ismail menerusi laman Facebook rasmi JDT, The Southern Tigers, dilaporkan mahu berdebat dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan wakil FAM bagi mencari punca serta juga penyelesaian kepada kemerosotan prestasi skuad Harimau Malaysia.

Pada masa sama, beliau mahu perdebatan itu melibatkan penyokong yang dibenarkan menyuarakan pendapat masing-masing serta menanyakan soalan dan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen berbayar, Astro.

Ia susulan kenyataan Khairy sebelum ini yang mendakwa pemain bola sepak tempatan kurang berkualiti selepas ranking Malaysia jatuh ke tangga ke-174 dunia, kedudukan paling rendah bagi skuad negara sejak sistem ranking baharu FIFA diperkenalkan pada Dis 1992.

Semalam, Khairy menjadi pihak kedua menyahut cabaran Tunku Ismail selepas Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan yang bersedia untuk perbahasan itu.

Sementara itu, jurulatih pasukan kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee turut berpendirian sama dengan Hamidin untuk mengadakan perbincangan secara tertutup.

“Ini bukan masa mencari kesalahan. Apa yang penting ialah input diperoleh daripada perbincangan itu dan semua harus bekerjasama untuk bangunkan tahap bola sepak kita,” katanya yang bersetuju dengan pandangan TMJ, iaitu memberi fokus kepada pembangunan di peringkat akar umbi. – BERNAMA