FAMA Beri Amaran Kepada Peniaga Ingkar

Azizi (tengah) membuat pemeriksaan di pasar tani Jalan Petri sempena Ops Kesejahteraan Rakyat dengan kerjasama KPDNKK.
SUNGAI PETANI – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan mengambil tindakan terhadap peniaga pasar tani di seluruh negara sekiranya didapati gagal mematuhi arahan ditetapkan.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa Fama, Azizi Azimi Mat Nayan berkata, antara tindakan itu adalah tidak membenarkan mereka berniaga atau disingkirkan daripada menjadi peserta pasar tani.

"Fama juga tidak teragak-agak mengeluarkan nama mereka untuk terus berniaga sekiranya masih gagal mematuhi arahan.

“Antara kesalahan yang paling utama ialah tidak meletakkan tanda harga ke atas barangan yang dijual,” katanya ketika melakukan Ops Kesejahteraan Rakyat di Pasar Tani Jalan Petri, Sungai Petani, semalam.

Ops yang disertai 12 penguat kuasa dari Fama itu turut disertai 16 anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sungai Petani.

Azizi berkata, antara peraturan yang terlibat termasuklah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan Keluaran Pertanian Fama 2008  dan Akta Timbang dan Sukat 1972.

Katanya, peniaga juga berdepan tindakan saman sekiranya tidak menepati peraturan.

“Sepanjang dua hari operasi dijalankan di negeri ini bermula semalam, hanya amaran dikeluarkan kepada peniaga atas kesalahan kecil sahaja.

“Setakat ini, semuanya memuaskan dan tiada lagi peniaga yang disingkirkan akibat kesalahan serius,” katanya.

Sumber: Sinar Harian