Apa jua perbezaan, umat Islam tetap bersatu pada kiblat yang sama. - Gambar Hiasan |
KEWUJUDAN isu ikhtilaf atau khilaf dalam kalangan manusia telah menimbulkan satu persoalan iaitu adakah manusia mempunyai fitrah yang cenderung untuk berbeza pandangan?
Bagi menjawab persoalan itu, Felo Kanan Pusat Kajian Syariah dan Undang-Undang IKIM, Dr. Farid Mohd. Shahran menyatakan ia perlu dilihat dari sudut sejarah kewujudan manusia atas muka bumi.
Katanya, jika dilihat dalam sejarah pertelingkahan manusia, dapat dirumuskan bahawa manusia memang diciptakan oleh Allah SWT dengan sifat suka berbeza pandangan.
Antara hujah beliau:
- Al-Quran sendiri menjelaskan bahawa ketika Adam a.s. ingin dicipta, para malaikat mempersoalkan tujuan penciptaannya dengan berhujah bahawa manusia bakal menumpahkan darah.
- Pelbagai bentuk perbalahan dan pertentangan antara kelompok manusia berlaku sepanjang sejarah kemanusiaan yang melibatkan peperangan dan pembunuhan. Sejarah jatuh bangun pelbagai tamadun adalah cerminan pertentangan pandangan yang berlaku antara manusia.
- Kewujudan pelbagai mazhab dalam bidang ilmu.
“Namun sekiranya ditinjau daripada sisi lain, pandangan bahawa fitrah manusia yang pada asasnya adalah bersetuju dan bersatu juga mempunyai asas dan hujah yang kukuh,” katanya semasa menjadi antara panel pada Persidangan Meja Bulat Prinsip Dan Kaedah Perbezaan Pandangan Dalam Kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah di IKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelas Farid, selain perbalahan dan perselisihan, sejarah manusia juga merakamkan banyak aktiviti manusia yang dijalankan atas kerjasama, kesatuan fikiran dan persepakatan.
Katanya, wujudnya pelbagai tamadun menggambarkan bahawa manusia dapat bersama dan bersatu dalam melakukan sesuatu. Sekiranya fitrah manusia adalah berbalah sudah pasti tidak banyak hasil peradaban hebat tercipta.
“Mengikut sejarah, jangka masa manusia hidup dalam keadaan aman dan sejahtera dalam kesatuan lebih lama dari masa bersengketa. Malah pada zaman Rasulullah SAW sendiri, peperangan dan perbalahan hanyalah sebahagian kecil daripada episod kehidupan baginda,” katanya.
Dalam masa sama, Farid memberitahu bahawa al-Quran menegaskan tentang kepentingan kesatuan yang merupakan fitrah kepada aspek tunduknya setiap hamba kepada Pencipta.
“Konsep ijmak sebagai antara sumber hukum Islam menggambarkan bahawa fitrah manusia cenderung untuk mencapai persetujuan. Walaupun khilaf banyak berlaku dalam masyarakat, namun ia bukanlah fitrah manusia yang perlu dipertahankan,” katanya.
Malah, sekiranya diteliti semangat yang dibawa oleh al-Quran berkaitan ikhtilaf dan kesatuan, ternyata kitab suci itu sentiasa menyarankan manusia agar bersatu dan bersepakat dalam melakukan sesuatu.
Sumber: Utusan