Penguat kuasa Jaik (tengah) menyoal pasangan berkenaan. |
ALOR SETAR - Sepasang kekasih dicekup berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan di dalam bilik sebuah hotel di sekitar bandar ini, Jumaat lalu.
Ketika serbuan, lelaki berusia 23 tahun yang berpakaian lengkap membuka pintu bilik hotel selepas diketuk penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) manakala pasangan wanitanya pula berada di dalam bilik air.
Wanita berusia 23 tahun dan dipercayai berasal dari Pendang memakai baju tanpa lengan keluar dari bilik air selepas namanya dipanggil.
Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-undang Jaik, Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, siasatan mendapati mereka sudah lama berkenalan, namun tidak memiliki hubungan sah.
“Difahamkan, wanita yang bekerja sebagai kerani sudah berkenalan dengan pasangannya sejak di bangku persekolahan sejak enam tahun lalu.
“Lelaki yang bekerja sendiri di Kuala Lumpur dipercayai pulang bercuti keluar menemui kekasihnya sebelum ke bilik hotel itu,” katanya.
Menurutnya, pasangan berkenaan ditahan kerana tidak memiliki hubungan suami isteri dan disyaki berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan.
"Mereka yang ditahan dalam bilik hotel berkenaan dibawa untuk laporan di Balai Polis Alor Setar, sebelum dibawa ke Pejabat Jaik untuk siasatan lanjut.
"Mereka disiasat di bawah Seksyen 25 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat, dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara, ataupun kedua-dua sekali," katanya.
Sumber: Sinar Harian