Gambar menakjubkan membuktikan hubungan erat antara masyarakat orang asli Thai dengan gajah, malah dijadikan haiwan peliharaan.
Penduduk tempatan yang tinggal di Ban Ta Klang adalah etnik minoriti Suay. Mereka mahir menangkap, melatih dan menjinakkan gajah Asia, simbol negara Thai.
Tidak seperti di utara negara itu, tempat gajah dijadikan buruh, penduduk tempatan di sini menganggap ia sahabat dan sering berkongsi tempat tinggal.
Nuttawut Jaroenchai, 32, merakam gambar itu ketika mengunjungi Surin, bandar di timur Thailand dan terkejut melihat hubungan rapat penduduk di situ dengan haiwan terbabit.
Katanya: “Menarik apabila orang boleh berkomunikasi dengan gajah dan tinggal bersama seperti satu keluarga.
“Mereka mempunyai hubungan rapat dengan gajah pada masa lalu dan ia berterusan sehingga sekarang. Gajah begitu istimewa bagi mereka.”
Selama berabad lamanya etnik minoriti Suay menggunakan gajah untuk aktiviti pertanian. Sebelum amalan itu diharamkan pada 1957, ‘pembisik gajah’ akan masuk ke dalam hutan dan menggunakan tali dibuat daripada kulit kerbau untuk menawannya sebelum dibawa pulang dan dijinakkan seluruh penduduk kampung.
Setibanya di kampung, tali kulit itu akan dililit pada leher gajah dan diikat pada pokok selama tiga hari.
Tali itu kemudian digantikan dengan tali berduri untuk memudahkan haiwan itu dikawal sehingga ia taat kepada penggembalanya.
Dengan bermulanya pelancongan di Thailand, gajah dipamerkan sebagai model untuk menunjukkan betapa ia dihormati dalam budaya masyarakat setempat.
Acara melatih haiwan itu pula dijadikan tontonan pengunjung.
Jaroenchai, pekerja teknologi maklumat berkata: “Pelancongan sedikit sebanyak mengubah gaya hidup masyarakat Suay. Generasi mereka masih hidup dengan gajah tetapi ia tidak lagi dijadikan sebagai buruh.
“Dalam sejarah Thailand, orang selalunya ada hubungan rapat dengan gajah, tetapi orang Suay yang paling rapat dengannya.”
Sumber: myMetro