Guan Eng Dipersoal Harga Jualan Tanah Taman Manggis

GEORGETOWN – Gerakan Pulau Pinang hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menjual tanah Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin di sini pada harga yang didakwa sangat rendah, kepada sebuah syarikat swasta.

Setiausaha Gerakan negeri Oh Tong Keong mendakwa pada 2010, sebuah tapak bangunan terbiar yang terletak kira-kira 100 meter dari tapak projek perumahan rakyat (PPR) itu, dijual pada harga RM910 bagi satu kaki persegi.

Beliau mendakwa bangunan yang terletak bertentangan dengan Taman Manggis itu dibeli oleh pemilik asal banglo Ketua Menteri Lim Guan Eng, Phang Li Koon.

“Phang membeli bangunan itu daripada sebuah syarikat korporat sebelum Taman Manggis dijual pada 2011, tapi tanah tapak Taman Manggis dijual pada harga serendah RM232 satu kaki persegi.

“Kerajaan negeri perlu jelaskan kenapa tanah Taman Manggis dijual begitu rendah dan perbezaannya lebih kurang RM700 dalam tempoh setahun,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Oh berkata, pihaknya juga mahu kerajaan negeri mendedahkan dokumen tender terbuka bagi tanah Taman Manggis agar rakyat dapat menilai sama ada penjualan tanah itu dilakukan secara telus atau sebaliknya.

Isu tanah Taman Manggis timbul apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membawanya kepada pengetahuan Dewan Rakyat dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat penjualan beberapa bidang tanah di Pulau Pinang, yang pada asalnya diperuntukkan bagi PPR.

Sementara itu, Lim dalam sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) berkata beliau amat dukacita dan kesal apabila jemputan untuk bersemuka dengan Shabudin yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) pagi ini, sekali lagi tidak dilayan.

Beliau berkata Shabudin sepatutnya hadir dalam pertemuan itu bagi membincangkan mengenai tanah milik PERDA yang didakwa dijual bawah harga pasaran sehingga menyebabkan agensi berkenaan kerugian RM15.2 juta. – BERNAMA