Guru Wanita SK Mergong Kebas Kaki Terpijak Ular


ALOR SETAR - Seorang guru wanita dari Sekolah Kebangsaan Mergong di sini, terpaksa dikejarkan ke hospital ekoran dirinya "rasa lain macam" lepas terpijak seekor ular di bilik stor sekolah pada tengah hari, Khamis.

Bagaimanapun, guru berusia 23 tahun bernasib baik kerana doktor di Hospital Sultanah Bahiyah mengesahkan dia tidak dipatuk reptilia itu meskipun mengalami kebas di kaki kiri selepas insiden berkenaan.

Difahamkan, guru terbabit masuk ke bilik stor untuk mengambil barang keperluan mengajar namun terkejut apabila menyedari terpijak seekor ular berwarna hijau lalu bertindak berlari keluar dari stor dan memaklumkan hal itu kepada rakan setugas yang segera membawanya ke hospital.

Petugas keselamatan sekolah itu kemudian membunuh ular jenis sawa burung berkenaan.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, guru berkenaan telah mendapat rawatan kecemasan di hospital dan berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang kesan patukan pada kaki.

“Guru berkenaan masih dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut selepas mengadu kakinya kebas,” katanya sambil menambah guru berkenaan telah dibenarkan pulang pada Jumaat.

Pada Rabu lalu, seorang murid Tahun Satu dari SK Datuk Hashim 1 Kota Baru, Kelantan, Nuriey Nadhirah Roslan meninggal dunia kerana dipercayai dipatuk ular di kawasan sekolahnya. – Kedahnews.com